DUNIA > BERITA

Isteri Anggota Majlis UK Ditahan, Seru Bakar Hotel Tempatkan Migran – Laporan

07/08/2024 11:39 PM

MOSCOW, 7 Ogos (Bernama-Sputnik) -- Polis UK menahan Lucy Connolly, isteri kepada seorang anggota majlis Parti Konservatif atas hantaran di media sosial yang menyeru pembakaran hotel yang menempatkan migran, lapor Sputnik memetik akhbar The Independent.

Lucy, isteri kepada Raymond Connolly, naib pengerusi jawatankuasa penjagaan sosial di Majlis West Northamptonshire ditahan lewat Selasa selepas polis menerima laporan mengenai jenayah kebencian.

Beliau menulis di rangkaian sosial X selepas protes sayap kanan yang berlaku di seluruh negara susulan laporan tidak sahih yang mendakwa pelaku serangan tikaman di bandar Southport, UK pada 29 Julai adalah seorang pelarian. Pelaku kemudiannya dikenal pasti sebagai seorang remaja lelaki kelahiran Wales berketurunan Rwanda.

Hantaran itu diterbitkan sejurus selepas serangan, tetapi Connolly kemudiannya memadamkan hantaran berkenaan dan membuat permohonan maaf, mendakwa beliau bertindak berdasarkan maklumat palsu.

Connolly dilaporkan masih dalam tahanan polis.

Tiga kanak-kanak maut dan beberapa lagi cedera dalam serangan di Southport minggu lalu.

Polis menahan seorang remaja lelaki berusia 17 tahun dan mendakwanya dengan tiga pertuduhan membunuh dan 10 pertuduhan cubaan membunuh. Serangan itu tidak dianggap sebagai tindakan keganasan.

Pada Selasa, sumber polis memberitahu Sky News bahawa lebih 400 orang ditahan berhubung dengan protes itu.

Agensi penguatkuasa undang-undang UK menuduh Liga Pertahanan Inggeris (EDL) sayap kanan sebagai pencetus protes.

-- BERNAMA-SPUTNIK


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan