DUNIA > BERITA

Olimpik Paris: Roje Stona Pecah Rekod, Menang Emas Pertama Jamaica Dalam Acara Lempar Cakera

08/08/2024 05:46 PM

PARIS, 8 Ogos (Bernama-Xinhua) -- Roje Stona mengatasi pencabar-pencabar utamanya untuk meraih pingat emas pertama Jamaica dalam acara lempar cakera lelaki di Sukan Olimpik Paris pada Rabu, lapor Agensi Berita Xinhua.

Stona memenangi perlawanan akhir dengan lontaran sejauh 70.00 meter, mencipta rekod Olimpik baharu dan mengatasi rekod lama 69.89 meter yang dicatat oleh Virgilijus Alekna dari Lithuania di Sukan Athens 2004.

Beliau mendahului pemegang rekod dunia dari Lithuania, Mykolas Alekna yang meraih perak dengan perbezaan tiga sentimeter. Matthew Denny dari Australia memenangi gangsa dengan lontaran terbaik sejauh 69.31 meter.

"Saya sangat teruja. Saya mendahului. Saya mahu bertenang, menyusun semula strategi dan mencuba lagi.

"Tiga lontaran pertama saya tidak begitu baik, saya tidak mendapat pelepasan yang baik.

"Apabila saya memusingkannya ke sisi, ia mencecah tanah 70m, ia adalah lontaran yang hebat. Saya gembira dapat mencipta sejarah," kata Stona, mengakui beliau berusaha mengawal emosinya setelah mendahului.

Keputusan ini merupakan pencapaian luar biasa bagi Stona, yang menduduki tempat ke-19 di kejohanan dunia tahun lepas dengan lontaran terbaik 62.67 meter.

-- BERNAMA-XINHUA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan