DUNIA > BERITA

Olimpik Paris: Panipak Wongpattanakit Pertahan Emas Taekwondo 49kg Wanita

08/08/2024 09:39 AM

PARIS, 8 Ogos (Bernama-Xinhua) -- Panipak Wongpattanakit dari Thailand berjaya mempertahankan pingat emas taekwondo kategori 49 kilogram (kg) wanita pada Sukan Olimpik Paris, sementara Park Tae Joon dari Korea Selatan meraih emas dalam kategori 58kg lelaki, lapor Agensi Berita Xinhua.

Wongpattanakit, yang akan menyambut ulang tahun ke-27 pada Khamis ini, mencipta sejarah dengan meraih emas Olimpik kedua berturut-turut.

Ini merupakan penampilan ketiganya di Olimpik, selepas memenangi gangsa di Rio 2016 dan emas di Tokyo 2020. Juara dunia dua kali itu mengesahkan bahawa ini adalah Olimpik terakhirnya akibat kecederaan.

Park Tae Joon, 20, juara dunia dalam kategori 54kg lelaki, mengalahkan Yohandri Granado dari Venezuela, Cyrian Ravet dari Perancis dan Mohamed Khalil Jendoubi dari Tunisia untuk mara ke final.

Dalam perlawanan akhir, Park berhadapan dengan Gashim Magomedov dari Azerbaijan, yang mengalami kecederaan di kaki pada set pertama.

Walaupun cuba untuk terus beraksi, atlet Azerbaijan itu terpaksa menarik diri pada set kedua ketika Park sedang mendahului dengan skor 13-1.

Ravet dan Khalil Jendoubi masing-masing meraih pingat gangsa.

Acara taekwondo diadakan dari 7 hingga 10 Ogos, dengan pertandingan kategori 68kg lelaki dan 57kg wanita dijadual berlangsung pada Khamis ini.

-- BERNAMA-XINHUA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan