DUNIA > BERITA

Pakistan Boleh Contohi Pembangunan China - PM Shehbaz

08/08/2024 02:30 PM

ISLAMABAD 8 Ogos (Bernama-CMG) -- Pakistan boleh mengambil contoh dan mendapat cadangan penyelesaian baharu daripada pembangunan China, kata Perdana Menteri Pakistan Shehbaz Sharif pada Selasa.

Dalam satu temubual bersama wartawan Kumpulan Media China di sini, Shehbaz berkata Pakistan perlu belajar daripada model China untuk mewujudkan pembangunan pesat secara berdikari.

Menurut beliau, Pakistan juga berhasrat memperdalam kerjasama dengan China dalam bidang teknologi maklumat, pertanian, perlombongan dan sumber tenaga selain menimba pengalaman negara Tembok Besar untuk merealisasikan pembangunannya sendiri.

Shehbaz berkata Koridor Ekonomi China-Pakistan sebagai satu projek perintis di bawah Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) bakal membawa limpahan manfaat kepada Pakistan.

“Kedua-dua pihak hendaklah memperincikan pelaksanaan projek kerjasama dua hala dengan memanfaatkan peluang yang wujud dalam pembangunan fasa kedua koridor itu,” katanya.

Menyentuh mengenai pelabuhan Gwadar yang merupakan satu daripada titik permulaan bagi koridor itu, Shehbaz memberitahu bahawa pengoperasian komersial pelabuhan Gwadar sedang dipergiatkan manakala kedua-dua negara telah menjalankan banyak kerjasama di pelabuhan berkenaan.

"Dengan usaha bersama antara kita, China dan Pakistan diyakini bakal menjadi suri teladan kepada pembangunan, kemakmuran dan kedamaian di dunia," kata beliau.

Shehbaz juga memberikan penghargaan tinggi kepada Inisiatif Pembangunan Global (GDI) yang disarankan Presiden Xi Jinping.

Beliau menganggap inisiatif itu sebagai visi sangat mulia yang bertujuan menempuh jalan pembangunan dan kemakmuran bersama dengan pelbagai negara di dunia.

-- BERNAMA-CMG 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan