DUNIA > BERITA

Pesuruhjaya Tinggi British Ke Malaysia Pikul Tugas Baharu Di 10 Downing Street

08/08/2024 05:50 PM

KUALA LUMPUR, 8 Ogos (Bernama) -- Pesuruhjaya Tinggi British ke Malaysia Ailsa Terry dilantik sebagai Setiausaha Sulit Hal Ehwal Luar Negeri Perdana Menteri United Kingdom (UK), Suruhanjaya Tinggi di sini mengumumkan pada Khamis.

Terry secara rasmi akan memikul tugas baharunya di No 10 Downing Street awal bulan depan, kata Suruhanjaya Tinggi dalam kenyataan.

Dalam peranan baharunya, Terry akan menasihati Perdana Menteri Keir Starmer mengenai isu-isu dasar luar dan bekerjasama rapat dengan Pejabat Luar Negeri, Komanwel & Pembangunan UK di London.

Ini menandakan kali pertama Pesuruhjaya Tinggi British ke Malaysia dicalonkan sebagai Setiausaha Sulit kepada Perdana Menteri.

"Ini adalah satu keistimewaan yang besar," kata Terry mengenai pelantikan baharunya.

"Perdana Menteri Keir Starmer telah menetapkan rancangan bercita-cita tinggi untuk negara. Saya berbesar hati diberi peluang ini untuk berkhidmat di Pejabat Perdana Menteri," katanya.

Mengimbas kembali tugasnya di Malaysia sejak Ogos tahun lepas, Terry berkata beliau dan pasukannya telah mengukuhkan perkongsian UK-Malaysia dalam pelbagai sektor termasuk perdagangan, teknologi, pendidikan, iklim, pertahanan dan keselamatan. 

"Saya telah melawat banyak negeri dan keluarga saya dan saya telah mendapat begitu ramai kawan di seluruh Malaysia. Kami akan merindui rakyat, pemandangan, bunyi, bau dan citarasa Malaysia," katanya.

David Wallace, yang telah menjadi Timbalan Pesuruhjaya Tinggi sejak 2022, akan menggalas sebagai Kuasa Usaha bermula 29 Ogos untuk memastikan kesinambungan kerja Suruhanjaya Tinggi semasa peralihan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan