DUNIA > BERITA

Singapura, Indonesia Meterai MoU Iktiraf Sijil Halal

09/08/2024 11:31 AM

Oleh Nur Ashikin Abdul Aziz

SINGAPURA, 9 Ogos (Bernama) -- Pihak berkuasa halal Singapura dan Indonesia menandatangani memorandum persefahaman (MoU) mengenai pengiktirafan bersama sijil dan logo halal masing-masing.

Kedutaan Besar Indonesia di Singapura menerusi laman Facebooknya memaklumkan bahawa MoU yang ditandatangani pada Khamis itu akan berkuat kuasa pada 17 Oktober.

Perjanjian ini telah ditandatangani oleh Ketua Eksekutif Majlis Ugama Islam Singapura (Muis), Kadir Maideen dan Ketua Badan Penyelenggara Jaminan Produk Halal Indonesia (BPJPH), Muhammad Aqil Irham.

Majlis menandatangani perjanjian itu disaksikan oleh Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Masagos Zulkifli Masagos Mohamad dan Duta Besar Indonesia ke Singapura, Suryo Pratomo.

Muis memaklumkan bahawa MoU ini akan memudahkan perdagangan produk yang diperakui halal antara Singapura dan Indonesia, satu langkah penting dalam memperkukuh kerjasama antara pihak berkuasa pensijilan halal kedua-dua negara.

"Ini bagi memastikan bahawa produk halal sentiasa diperakui mengikut piawaian tertinggi, memberikan keyakinan yang lebih besar terhadap keaslian dan kualitinya, serta memastikan pelbagai pilihan produk halal yang lebih luas untuk pengguna," katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Sementara itu, Masagos berkata bahawa Singapura adalah negara ketiga selepas Arab Saudi dan Malaysia yang menandatangani perjanjian ini, sebelum pensijilan halal mandatori Indonesia bermula pada Oktober 2024.

Beliau berkata, kerjasama antara Indonesia yang merupakan negara majoriti Muslim terbesar dan Singapura sebagai hab global untuk perdagangan dan perniagaan dijangka merangsang pasaran halal, sekali gus membuka peluang yang lebih luas kepada perniagaan dan pengguna.

"Ini juga menandakan pengembangan peluang untuk perniagaan kami, terutamanya pengeluar makanan dan bahan tambahan, untuk membawa produk mereka ke Indonesia dan mengelakkan sebarang gangguan perdagangan," katanya di Facebook.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan