DUNIA > BERITA

Konsulat Jeneral Medan Suntik Semangat Patriotik Menjelang Hari Kebangsaan

09/08/2024 07:37 PM

Oleh Mohd Iswandi Kasan Anuar

JAKARTA, 9 Ogos (Bernama) -- Konsulat Jeneral Malaysia di Medan (KJM) pada Jumaat menganjurkan Majlis Tazkirah sempena menyambut Hari Kebangsaan Malaysia ke-67 di Bangunan Canseri untuk memupuk semangat patriotik.

Majlis itu juga bertujuan meningkatkan rasa tanggungjawab dalam  kalangan para pegawai dan kakitangan untuk menjalankan tugas dengan penuh komitmen dan kesungguhan bagi melaksanakan aspirasi Kerajaan Malaysia, menurut KJM dalam kenyataan.

Pengisian kerohanian bertajuk “Memaknai Kemerdekaan dalam Sudut Pandang Agama" disampaikan Timbalan Rektor IV Bidang Kerjasama dan Pengembangan Lembaga daripada Universitas Islam Negeri Sumatera Utara Prof Dr Muzakkir.

Majlis yang dihadiri 60 pegawai dan kakitangan serta wakil Persatuan Kebangsaan Pelajar Malaysia di Indonesia (PKPMI) turut diserikan dengan kehadiran tokoh-tokoh agama di Sumatera Utara termasuk Ketua Umum Majlis Ulama Indonesia Dr H. Maratua Simajuntak dan pegawai-pegawai majlis itu.

Ini merupakan sebahagian daripada pengisian kerohanian bulan kebangsaan  yang telah dirancang oleh Biro Agama Kelab Sukan, Kebajikan, Rekreasi dan Sosial yang diketuai oleh Leftenan Komander Shahrizan Sahari.

Malaysia akan menyambut Hari Kebangsaan ke-67 pada 31 Ogos, manakala Indonesia akan menyambut hari kemerdekaan ke-79 pada 17 Ogos.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan