DUNIA > BERITA

Singapura sambut Hari Kebangsaan ke-59 dengan perarakan di Padang

09/08/2024 10:38 PM

Oleh Nur Ashikin Abdul Aziz

SINGAPURA, 9 Ogos (Bernama) -- Singapura menyambut Hari Kebangsaan ke-59 pada Jumaat dengan perarakan berskala penuh, pameran pertahanan dan pertunjukan bertemakan "Together, As One United People” di Padang.

Presiden Tharman Shanmugaratnam dan Perdana Menteri Lawrence Wong membuat penampilan pertama mereka di Perbarisan Hari Kebangsaan (NDP) sejak memegang jawatan pada September 2023 dan Mei 2024, masing-masing.

Menteri Kabinet dan Ahli Parlimen, bersama 27,000 orang awam yang berpakaian merah dan putih, berada dalam suasana gembira dan bersemangat tinggi walaupun hujan pada bahagian awal acara.

Sambutan bermula kira-kira 6 petang dengan segmen perarakan dan majlis bertemakan "United We Stand", menampilkan 35 kontinjen berarak.

Segmen itu melibatkan lebih 2,100 peserta, merangkumi pasukan Colours Party Angkatan Bersenjata Singapura (SAF), lima kontinjen kawalan kehormat (GOH), lima kontinjen daripada SAF, Pasukan Polis Singapura (SPF) dan Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) serta kontinjen Sukarelawan yang kembali menyertai NDP tahun ini.

Segmen seterusnya, Paparan Pertahanan Dinamik (D3) Total Defence 40 (TD40) bertajuk "Together, We Are Strong" telah dipersembahkan di Padang buat kali pertama dan diperluaskan di kawasan Marina Bay untuk membolehkan lebih ramai orang menikmati paparan itu.

TD40 D3 menekankan kepentingan kesemua enam tonggak Pertahanan Menyeluruh - Ketenteraan, Awam, Ekonomi, Sosial, Digital dan Psikologi - melalui filem multimedia dan urutan aksi langsung.

Segmen itu, yang melibatkan 40 aset termasuk jet pejuang F-16 dan lebih 400 peserta, mempamerkan tindak balas Keseluruhan Kerajaan dan komuniti bersepadu terhadap kemungkinan ancaman merentasi pelbagai senario, termasuk ancaman udara dan maritim serta kecemasan dan gangguan awam.

Sementara itu, segmen rancangan bertemakan "Rakyat Kita", diceritakan merentasi empat bab dan tiga filem pendek yang berkaitan, menonjolkan kekuatan kolektif rakyat Singapura serta kepelbagaian dan perpaduan yang rumit yang mentakrifkan masyarakat melalui persembahan besar-besaran, lagu-lagu biasa dan filem yang emosional.

Menampilkan 12 artis dan lebih 3,000 penghibur, segmen ini terdiri daripada nyanyian dan persembahan besar-besaran, termasuk segmen praperarakan yang berpusatkan belia.

NDP 2024 disiarkan secara langsung di halaman Facebook dan YouTube rasmi NDPeeps.

Singapura akan meneruskan perayaan Hari Kebangsaan dengan Sambutan Heartland di lima tapak kawasan tengah pada Sabtu (10 Ogos), melalui persembahan pentas, paparan statik kenderaan SAF, SCDF dan SPF dan pertunjukan bunga api serta karnival dan aktiviti keluarga.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan