DUNIA > BERITA

ASEAN & Yayasan Maybank Lancar Program Untuk Perkasakan Golongan Belia Dengan Kemahiran Dan Pengetahuan

09/08/2024 10:58 PM

Oleh Kenny Teng

BANGKOK, 9 Ogos (Bernama) -- Yayasan ASEAN dan Yayasan Maybank telah melancarkan bengkel pembinaan kapasiti serantau selama lima hari, Program “eMpowering Youths Across ASEAN” (eYAA) di Universiti Chulalongkorn, di sini, dalam usaha untuk membina Komuniti ASEAN yang lebih inklusif, mampan, dan berdaya tahan.

Bengkel yang diadakan sempena Hari ASEAN pada 8 Ogos 2024 ini bertujuan untuk melengkapkan pemimpin muda dengan kemahiran dan pengetahuan untuk menangani cabaran sosioekonomi dan pembangunan di rantau ini.

Pengarah Eksekutif Yayasan ASEAN, Dr. Piti Srisangnam, berkata program eMpowering Youths mencerminkan komitmen untuk memupuk generasi pemimpin ASEAN yang akan datang.

“Dengan menyediakan peluang kepada sukarelawan muda untuk terlibat dalam projek yang memberi impak, kami bukan sahaja menggalakkan semangat kerjasama tetapi juga memacu pembangunan mampan di seluruh rantau ini. Bersama-sama, kita boleh membina Komuniti ASEAN yang lebih kuat dan bersepadu,” katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Jumaat.

Program eYAA merupakan tonggak utama Pelan Induk Komuniti Sosio-Budaya ASEAN 2025, yang bertujuan untuk memperkasakan golongan belia menjadi pemangkin kepada perubahan positif. Melalui pembelajaran pengalaman dan kesukarelawanan sosial, peserta akan membangunkan penyelesaian inovatif terhadap isu komuniti yang mendesak.

Sementara itu, Ketua Pegawai Kelestarian Kumpulan Maybank, Shahril Azuar Jimin berkata Maybank membolehkan belia ASEAN untuk menerajui perubahan mampan di seluruh komuniti melalui Bengkel Pembinaan Kapasiti Serantau eMpowering Youths.

“Inisiatif-inisiatif ini membuktikan komitmen bersama kami dalam mempromosikan pembangunan mampan dan memperkayakan komuniti di seluruh Asia Tenggara. Dengan memperkasakan golongan belia untuk menerajui inisiatif yang menangani cabaran sosial dan ekonomi yang mendesak, kami bertekad untuk membuat perubahan yang bermakna, mencipta perubahan positif dan memupuk masa depan dengan kerjasama dan inovasi memacu impak yang berkekalan,” katanya.

Beliau berkata kerjasama Yayasan Maybank dengan Yayasan ASEAN selaras dengan komitmen untuk memanusiakan perkhidmatan kewangan dan meningkatkan kehidupan dua juta isi rumah menjelang 2025.

Program eYAA didedikasikan untuk memperkasakan belia berumur antara 19 hingga 35 tahun dan komuniti di seluruh 10 negara anggota ASEAN untuk membangunkan dan melaksanakan projek komuniti yang memberikan impak sosial dan ekonomi yang nyata dalam jangka panjang.

Inisiatif ini menggalakkan belia untuk menerajui perubahan yang bermakna, menyediakan platform pembelajaran dan pengalaman serta  pendidikan melalui kesukarelawanan sosial.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan