DUNIA > BERITA

Roberts, Atlet Britain 19 Tahun Menang Emas Acara Speed Climbing Boulder Dan Lead

09/08/2024 11:54 PM

PARIS, 9 Ogos (Bernama-dpa) -- Toby Roberts dari Britain mencipta kejutan apabila merangkul emas sulung dalam final speed climbing boulder dan lead lelaki  Sukan Olimpik Paris 2024 pada Jumaat, lapor agensi berita Jerman (dpa).

Beliau mencatatkan markah ketiga terbaik dengan 63.1 mata untuk boulder dan juga menduduki tempat ketiga dalam markah lead dengan 92.1 mata, menjadikan remaja berusia 19 tahun itu berjaya merangkul emas keseluruhan dengan 155.2 mata.

Roberts menjadi pemanjat lelaki pertama dari Britain yang layak ke Sukan Olimpik di Paris, selepas sukan memanjat membuat penampilan sulung di Tokyo tiga tahun lalu. Beliau hanya mula menceburi sukan memanjat itu selepas melihatnya disenaraikan sebagai aktiviti selepas sekolah.

Sorato Anraku dari Jepun mencatatkan markah terbaik dalam boulder tetapi mengalami kesukaran dalam lead dan terpaksa berpuas hati dengan pingat perak.

Wakil Austria Jakob Schubert, Juara Dunia 2023 memenangi pingat gangsa, sama seperti yang diperolehnya dalam acara  gabungan di Sukan Olimpik Tokyo lepas, satu-satunya acara sukan memanjat lelaki yang dipertandingkan di Tokyo.

-- BERNAMA-dpa


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan