DUNIA > BERITA

Max Maeder Sumbangkan Pingat Gangsa, Pingat Pertama Singapura Di Paris 2024

10/08/2024 02:06 AM

Oleh Nur Ashikin Abdul Aziz

SINGAPURA, 9 Ogos (Bernama) -- Juara dunia Maximilian “Max” Maeder mencipta sejarah dengan menyumbangkan pingat pertama Singapura di Sukan Olimpik Paris 2024 selepas meraih gangsa dalam acara Luncur Layang-Layang Lelaki pada Jumaat (9 Ogos) di Marina Marseille.

Pencapaian atlet berusia 17 tahun itu menjadikannya pemenang pingat Olimpik termuda Singapura, hadir tepat pada waktunya ketika negara itu meraikan Hari Kebangsaan ke-59.

Pingat emas dimenangi oleh Valentin Bontus dari Austria manakala Toni Vodisek dari Slovenia membawa pulang perak.

Perdana Menteri Lawrence Wong, yang baru sahaja menghadiri Perbarisan Hari Kebangsaan di Padang, mengucapkan tahniah kepada peluncur layang-layang itu di Facebook.

"Tahniah Max atas pingat gangsa dalam meluncur layang-layang! Terima kasih atas hadiah hari jadi yang indah untuk Singapura. Semoga pasukan Singapura berjaya dalam acara sukan yang lain," katanya.

Sementara itu, Presiden Tharman Shanmugaratnam menaruh harapan terhadap prestasi dan perkembangan sukan Singapura di Olimpik, terutamanya dengan generasi atlet mudanya.

"Terdapat angin baharu dalam sukan Singapura. Bayangkan - kita tidak memenangi pingat Olimpik hampir setengah abad selepas pingat perak Tan Howe Liang di Olimpik Rome 1960.

Namun, sejak 2008, Kontinjen Singapura kini telah membawa pulang tiga pingat gangsa Olimpik (termasuk pingat Max), satu perak, dan emas bersejarah Joseph Schooling," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan