DUNIA > BERITA

Ketua Eksekutif HKSAR Seru Belia Hayati Semangat Olimpik Demi Kemakmuran Hong Kong

10/08/2024 07:38 PM

Daripada Syed Iylia Hariz Al-Qadri Syed Izman

HONG KONG, 10 Ogos (Bernama) -- Ketua Eksekutif Wilayah Pentadbiran Khas Hong Kong (HKSAR) John Lee Ka-Chiu menyeru golongan belia untuk mewujudkan moto Olimpik "lebih pantas, lebih tinggi, lebih kuat bersama" dalam mendorong kemakmuran masa depan bandar raya itu.

Diilhamkan oleh kejayaan Hong Kong pada temasya Sukan Olimpik Paris 2024, apabila wilayah itu memenangi dua pingat emas dan dua gangsa, Lee menekankan peranan penting golongan muda dalam mengekalkan semangat itu.

Dalam ucapannya pada pembukaan Sidang Kemuncak Pembangunan Belia pada Sabtu, beliau menekankan keazaman atlet, usaha yang gigih, semangat bertenaga dan semangat berpasukan yang kuat adalah sifat utama semangat Hong Kong.

"Walaupun kita semua tidak boleh menjadi juara Olimpik, kita semua boleh menjadi juara cerita kita sendiri. Kita semua boleh menghayati semangat moto Olimpik 'lebih pantas, lebih tinggi, lebih kuat'.

"Dan saya percaya bahawa Hong Kong adalah tempat yang bagus untuk mewujudkannya kerana di sinilah anda semua boleh menghayati semangat Hong Kong - semangat tidak pernah berputus asa, semangat sentiasa berusaha untuk mencapai yang terbaik," katanya.

Lee berkata Hong Kong telah menerima pakai empat hala tuju dasar - "penerokaan", "harapan", "pemerkasaan" dan "sumbangan" - dalam Rangka Tindakan Pembangunan Belia untuk memperkasakan golongan muda.

"Visi kami adalah untuk memupuk generasi belia baharu yang dilengkapi dengan perspektif global, minda yang bercita-cita tinggi dan positif, serta kasih sayang yang mendalam terhadap negara dan bandar kita," tambahnya.

Sidang Kemuncak Pembangunan Belia, yang menarik lebih 2,000 pemimpin belia, penggubal dasar, penyelidik dan usahawan muda dari seluruh dunia - termasuk Indonesia, Singapura, Laos, Filipina, Arab Saudi dan China - berfungsi sebagai platform untuk membincangkan isu-isu kritikal yang memberi kesan kepada generasi muda.

Antara topik yang akan dibincangkan pada sidang kemuncak itu ialah "Memberi Inspirasi Kreativiti Belia untuk Masa Depan yang Mampan" dan "Memupuk Pemikiran Positif Dalam Kalangan Belia."

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan