DUNIA > BERITA

Sekolah Gaza Diserang: Algeria Minta Majlis Keselamatan PBB Adakan Mesyuarat Tergempar

11/08/2024 01:29 PM

ALGIERS, 11 Ogos (Bernama-Anadolu) -- Algeria pada Sabtu meminta sidang tergempar Majlis Keselamatan PBB diadakan pada Selasa ini untuk membincangkan serangan Israel ke atas sebuah sekolah yang melindungi orang yang kehilangan tempat tinggal di Bandaraya Gaza.

Permintaan Algeria, sebagai anggota tidak tetap Majlis Keselamatan untuk mesyuarat tergempar itu dibuat "sebagai reaksi kepada perkembangan serius terkini di wilayah Palestin yang diduduki, terutamanya selepas serangan udara oleh tentera rejim Zionis ke atas sekolah Al-Tabin," lapor agensi berita rasmi Algeria, memetik sumber diplomatik yang tidak dinamakan di New York.

Menurut laporan Agensi Anadolu, permintaan itu dibuat "dalam rundingan dengan Negara Palestin" dan "disokong oleh negara anggota Majlis Keselamatan yang lain (tidak dinyatakan)."

Sekurang-kurangnya 100 orang terbunuh dan beberapa yang lain cedera apabila pesawat Israel menyasarkan rakyat Palestin yang sedang menunaikan solat subuh di Sekolah Al-Tabin di kawasan perumahan Al-Daraj.

Dengan pengeboman sekolah itu, bilangan sekolah yang menjadi sasaran tentera Israel di Bandaraya Gaza pada minggu lepas telah meningkat kepada enam, menurut kiraan Anadolu.

Walaupun terdapat rayuan pada Khamis daripada perantara, termasuk Mesir, AS, dan Qatar untuk menghentikan pertempuran, mencapai gencatan senjata dan perjanjian pertukaran tawanan, Israel tetap meneruskan serangan ke atas Semenanjung Gaza.

Sekurang-kurangnya 39,800 orang telah terbunuh dalam serangan Israel sejak Oktober tahun lepas.

-- BERNAMA-ANADOLU



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan