DUNIA > BERITA

Malaysia Alu-alukan Kenyataan Bersama Pemimpin Seru Rundingan Segera Gencatan Senjata Di Gaza

11/08/2024 02:05 PM

PUTRAJAYA, 11 Ogos (Bernama) -- Malaysia mengalu-alukan kenyataan bersama oleh pemimpin Amerika Syarikat (AS), Mesir dan Qatar pada 8 Ogos, menggariskan keperluan segera untuk memuktamadkan perjanjian gencatan senjata dan untuk membawa bantuan segera kepada penduduk Gaza.

Kementerian Luar dalam menekankan sokongan Malaysia terhadap rundingan damai yang sedang dijalankan dengan pengantaraan AS, Mesir dan Qatar berharap perbincangan yang akan diadakan pada 15 Ogos akan membuahkan hasil positif dan menghalang konflik yang semakin meruncing serta mencapai penyelesaian secara aman.

“Malaysia menggesa semua pihak untuk terus fokus, komited dan menghormati proses keamanan,” menurut kementerian itu dalam satu kenyataan pada Ahad.

Kementerian Luar berkata secara prinsip, Malaysia sentiasa memperjuangkan keamanan dan kestabilan serta pematuhan kepada undang-undang antarabangsa.

“Kami sekali lagi menuntut agar pembunuhan dan kekejaman dihentikan, gencatan senjata segera dan kekal dilaksanakan, bantuan kemanusiaan disalurkan tanpa halangan ke Gaza, dan Palestin diterima sebagai ahli penuh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu,” menurut kenyataan itu.

Kementerian itu turut mengulangi bahawa sokongan teguh dan solidariti Malaysia dengan rakyat Palestin kekal tidak berbelah bahagi, termasuk terhadap hak mereka untuk menentukan nasib sendiri serta penubuhan sebuah negara yang merdeka dan berdaulat berdasarkan sempadan  sebelum 1967 dengan Baitulmuqaddis Timur sebagai ibu kotanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan