DUNIA > BERITA

Turkiye Tarik Balik Larangan Akses Kepada Instagram

11/08/2024 04:12 PM

ISTANBUL, 11 Ogos (Bernama-dpa) -- Turkiye pada Sabtu telah memulihkan akses kepada platform media sosial popular Instagram selepas lebih seminggu dengan menyatakan bahawa syarikat induknya yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS), Meta menerima syarat Ankara mengenai pemadaman kandungan, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

"Larangan akses ke atas Instagram telah ditarik balik," tulis Menteri Pengangkutan dan Infrastruktur Turkiye, Abdulkadir Uraloglu di platform media sosial X.

Uraloglu dalam hantaran terdahulu di platform sama memaklumkan Meta bersetuju dengan peraturan kerajaan Turkiye mengenai pemadaman kandungan yang dianggap jenayah oleh Ankara.

Bagaimanapun, tiada reaksi segera daripada Meta.

Menurut menteri itu, Meta juga kini berkongsi "sensitiviti" kerajaan Turkiye mengenai pemadaman kandungan yang berkaitan dengan kumpulan yang dianggap "pengganas" oleh Ankara seperti Parti Pekerja Kurdistan yang diharamkan.

Minggu lepas, Uraloglu berkata Meta gagal mematuhi peraturan mengenai pemadaman kandungan yang merupakan jenayah di Turkiye seperti penderaan seksual, menggalakkan perjudian, atau menghina bapa pengasas republik itu, Mustafa Kemal Ataturk, menurut agensi berita Anadolu.

Larangan itu dikenakan selepas Pengarah Komunikasi Turkiye Fahrettin Altun menuduh Instagram menyekat ucapan takziah untuk Ismail Haniyeh, pemimpin kumpulan Hamas yang terbunuh di Iran. 

Turkiye telah mengisytiharkan hari berkabung di negara itu susulan pemergian Haniyeh.

-- BERNAMA-dpa


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan