DUNIA > BERITA

UNHCR Catat Sejarah Hantar Kontinjen Pelarian Terbesar Dan Raih Pingat Sulung Di Olimpik Paris

12/08/2024 12:55 AM

PARIS, 11 Ogos (Bernama-WAM) -- Ketika Sukan Olimpik Paris 2024 melabuhkan tirainya, Suruhanjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Pelarian (UNHCR), memberikan penghormatan kepada Pasukan Olimpik Pelarian atas pencapaian bersejarah dalam tempoh dua minggu yang lepas.

Sukan Olimpik kali ini menandakan kejayaan besar bagi pelarian di seluruh dunia, dengan pasukan pelarian terbesar yang pernah menyertai dan kemenangan pingat pertama oleh seorang atlet Pasukan Olimpik Pelarian, lapor agensi berita Emiriah (WAM).

Dengan 37 atlet yang bertanding dalam 12 sukan berbeza, ini adalah pasukan pelarian terbesar sejak Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) menubuhkan pasukan pelarian pertama pada Sukan Olimpik 2016 di Rio de Janeiro.

Atlet-atlet ini, yang mewakili 120 juta orang yang dipindahkan di seluruh dunia, mempamerkan bakat, kekuatan dan tekad mereka di pentas global, menarik perhatian kepada penderitaan dan potensi golongan pelarian.

Sorotan utama Sukan Olimpik kali ini adalah kemenangan bersejarah Cindy Ngamba yang meraih pingat gangsa dalam acara tinju di Roland Garros menjelang akhir pertandingan.

Kemenangan Ngamba, yang ditandai dengan paparan bangga logo “EOR” di bajunya dan sorakan gemuruh orang ramai yang melaungkan namanya, adalah pencapaian bersejarah bagi Pasukan Olimpik Pelarian.

Prestasi cemerlang Dominic Lokinyomo Lobalu yang hampir meraih tempat di podium dalam acara 5,000m lelaki di Stade de France adalah contoh lain tentang apa yang boleh dicapai apabila pelarian diberikan peluang untuk terlibat dalam sistem sukan negara tuan rumah.

Awal minggu ini, di stadium yang sama pada malam yang sama, Perina Lokure Nakang dan Jamal Abdelmaji mencatat rekod peribadi terbaik masing-masing dalam acara 800m wanita dan 10,000m lelaki, dengan hampir 80,000 penonton bersorak ketika mereka berlari.

"Prestasi untuk Pasukan Olimpik Pelarian yang memecah rekod ini lebih daripada sekadar angka dan kedudukan," lapor WAM memetik Timbalan Pesuruhjaya Tinggi untuk Pelarian, Kelly T. Clements, yang menyaksikan pasukan itu bertanding di Paris.

"Ngamba adalah pencipta sejarah, dan pingat ini adalah bukti keberanian dan kekuatannya di dalam dan di luar gelanggang. Ia melambangkan semangat pelarian yang berterusan dan kuasa sukan untuk menyatukan dan memberi inspirasi. Ketika Sukan Olimpik berakhir, marilah kita semua mengingati pasukan ini sebagai simbol harapan dan perpaduan," katanya.

Sambutan hangat yang diberikan kepada atlet pelarian oleh peminat sukan, sama ada di venue sukan, zon peminat di sekitar Paris atau sorakan gemuruh ketika pasukan itu berarak di sepanjang sungai Seine semasa Majlis Pembukaan, menunjukkan sokongan meluas yang mereka terima, tanpa mengira keputusan individu.

"Sukan adalah alat ampuh yang melindungi dan membantu menyembuhkan. Atlet pelarian ini telah mengatasi cabaran yang besar, tetapi kejayaan mereka mengingatkan dunia tentang apa yang boleh dicapai apabila pelarian diberikan bantuan untuk mengejar impian mereka.

Ketika kawah api Olimpik dipadamkan di Paris, legasi Pasukan Olimpik Pelarian akan terus memberi inspirasi kepada kita semua," kata Clements.

UNHCR mengucapkan tahniah kepada semua atlet Pasukan Olimpik Pelarian atas prestasi cemerlang mereka dan mengucapkan terima kasih kepada IOC serta semua penyokong dan rakan kongsi kerana menyokong pasukan itu.

Tumpuan kini beralih kepada Pasukan Paralimpik Pelarian, yang terdiri daripada lapan atlet dan seorang pelari panduan, yang berharap untuk meraih lebih banyak pingat apabila Sukan Paralimpik bermula pada 28 Ogos.

-- BERNAMA-WAM


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan