DUNIA > BERITA

Menteri Luar China, Iran Bertukar Pendapat Tentang Situasi Asia Barat

12/08/2024 03:42 PM

BEIJING, 12 Ogos (Bernama-CMG) -- China sentiasa memberi keutamaan kepada hubungan strategik jangka panjang dengan Iran dan komited untuk memperkukuh kerjasama antara kedua-dua negara, kata Menteri Luar China, Wang Yi.

Dalam perbualan telefon dengan rakan sejawatnya dari Iran Ali Bagheri Kani pada Ahad Wang berkata China dan Iran bersedia untuk saling menyokong dalam isu-isu utama yang menjadi keprihatinan bersama, sambil mempercepatkan kerjasama dalam pelbagai bidang supaya dapat menambah elemen baharu ke dalam perkongsian strategik komprehensif kedua-dua negara.

Menurut Wang, Beijing mengalu-alukan Tehran menyertai aktiviti anjuran China selaku negara pengerusi bergilir Pertubuhan Kerjasama Shanghai (SCO), dan bersedia memperhebat kerjasama dengan Iran dalam kerangka BRICS demi mendorong perkembangan tadbir urus antarabangsa ke arah yang adil dan rasional.

Sementara itu, Bagheri menghargai kehadiran utusan khas Presiden China Xi Jinping ke majlis angkat sumpah Presiden Iran Masoud Pezeshkian, dan menyatakan bahawa Presiden baharu negaranya akan mempergiat perkembangan hubungan bilateral dengan China dan memastikannya tidak terkesan dalam perubahan situasi semasa serantau.

Perbincangan kedua-dua pihak turut tertumpu kepada situasi semasa di Asia Barat.

Wang Yi berkata China sentiasa mempertahankan keadilan ketika menangani urusan Asia Barat, mengutuk keras pembunuhan yang menyasarkan pemimpin Hamas dan menyifatkan tindakan seumpama itu melanggar norma asas hubungan antarabangsa, mencabuli kedaulatan dan maruah Iran, menjejaskan proses gencatan senjata di Genting Gaza serta kedamaian dan kestabilan serantau.

Beliau berkata tugas yang paling mendesak buat masa sekarang adalah kerjasama masyarakat antarabangsa bagi mendesak pihak terlibat konflik melaksanakan resolusi Majlis Keselamatan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC), agar menyediakan syarat bagi secepat mungkin mewujudkan gencatan senjata secara berkekalan.

Dalam pada itu, Bagheri telah menyuarakan pendirian dan pandangannya mengenai pembunuhan bekas pemimpin Hamas, Ismail Haniyeh sambil menghargai pendirian China yang menjunjung keadilan dalam isu Pelastin-Israel.

Beliau juga berharap China akan memainkan peranan yang lebih besar dalam menggalakkan keamanan serantau.

-- BERNAMA-CMG

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan