DUNIA > BERITA

Empat Petua Bagi China Jayakan Pelaksanaan Dasar Pembaharuan Dan Pintu Terbuka

12/08/2024 03:41 PM

BEIJING, 12 Ogos (Bernama-CMG) -- Tidak syak lagi, China sudah menjadi sebahagian dalam ekonomi dunia dan satu anggota dalam kalangan sains antarabangsa berkat pelaksanaan dasar pintu terbuka di negaranya, yang dipercayai telah membantu China, satu negara miskin pada 40 tahun lalu berubah menjadi satu entiti ekonomi yang makmur dan berkembang pesat pada hari ini.

Demikian dinyatakan oleh seorang pemenang Hadiah Nobel Ekonomi, Eric Maskin dalam Persidangan Antarabangsa Sains Asas 2024 yang membuka tirai di Universiti Tsinghua pada 14 Julai,  yang turut menyaksikan penglibatan lebih 800 sarjana dari dalam dan luar negara.

“Itulah sebabnya saya bimbang akan  usaha yang cuba memecahbelahkan dunia. Saya percaya bahawa Persidangan Antarabangsa Sains Asas adalah satu platform untuk melawan kuasa-kuasa pemecah belah itu, membolehkan kita bersatu semula dan menjalankan kerjasama antarabangsa,” kata beliau yang juga Presiden Persatuan Ekonometrik Dunia dan Profesor Emeritus Universiti Tsinghua,  dalam temu bual dengan wartawan CMG baru-baru ini.

Isu pembangunan ekonomi China sudah dalam perhatian Eric Maskin selama bertahun-tahun. Beliau menghargai kebijaksanaan China yang terkandung dalam pelaksanaan dasar pembaharuan dan pintu terbuka serta memuji wawasan China yang berpandangan ke hadapan dalam membangunkan "kuasa produktif kualiti baharu".

“Sepanjang empat dekad yang lalu, China telah mencapai kemajuan yang mengagumkan. Terdapat beberapa petua yang berkaitan dengan kejayaan China itu. Pertama, China menggalakkan ekonomi pasaran. Kuasa pasaran telah memainkan peranan penting dalam pembangunan ekonomi China. Selain itu, terbuka kepada dunia juga merupakan satu langkah penting ke arah yang betul. Memanfaatkan pasaran antarabangsa dengan baik melalui pelaksanaan dasar pintu terbuka, adalah pengalaman yang paling penting bagi China.”

“Selain itu, pada pendapat saya, struktur organisasi kerajaan China juga menyumbang kepada kejayaan itu. China mempunyai kerajaan pusat, kerajaan peringkat provinsi dan pihak berkuasa tempatan yang masing-masing mengendalikan ekonomi yang mempunyai ciri-ciri tersendiri dan kecekapan ekonomi boleh meningkat susulan persaingan di antara mereka. Di bawah struktur ini, China juga boleh menjalankan projek perintis di sebahagian tempat. Saya fikir ini adalah satu lagi petua yang berkaitan dengan kejayaan China. Kesemua ini boleh dijadikan inspirasi yang baik bagi memacu pembangunan ekonomi.

"Teknologi dan sains abad ke-20 sedang digantikan oleh teknologi abad ke-21. Adalah amat bermakna untuk China berada di barisan hadapan dan memperuntukkan dana dan sumber ke dalam teknologi baharu. Sebagai contoh, China telah menjadi peneraju dalam pengeluaran kenderaan elektrik. Saya rasa ini sangat munasabah. China sangat bijak dengan melabur dalam bidang ini kerana dunia memerlukan kenderaan elektrik," ujar Maskin.

“Saya sentiasa menyokong usaha untuk memartabatkan perdagangan dan kerjasama rentas sempadan. Dari segi perdagangan dan kerjasama antarabangsa, saya percaya bahawa pihak-pihak yang mereka-reka halangan perdagangan hanya akan menjadikan kepentingan mereka sendiri terjejas,” tambah beliau.

-- BERNAMA-CMG

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan