DUNIA > BERITA

Setiausaha Dalam Negeri Uk Kecam Ahli Politik Kerana Gugat Kredibiliti Polis

12/08/2024 10:39 PM

LONDON, 12 Ogos (Bernama-Anadolu) -- Setiausaha Dalam Negeri United Kingdom (UK) Yvette Cooper pada Isnin mengkritik ahli politik kanan kerana "kelakuan memalukan" mereka yang menggugat kredibiliti polis semasa kekacauan yang berlaku di seluruh negara baru-baru ini, lapor Agensi Anadolu (AA).

Dalam artikel yang diterbitkan dalam The Telegraph, Cooper menekankan keperluan untuk mengembalikan penghormatan terhadap penguatkuasaan undang-undang, dan mengecam mereka yang mempersoalkan kesahihan dan kewibawaan polis pada masa sokongan awam amat penting.

Dalam kritikan tersirat yang ditujukan kepada kepimpinan Reform UK, Cooper menyatakan bahawa beliau tidak akan mengambil bahagian dalam tindakan mereka yang cuba mengurangkan peranan polis, terutamanya semasa tempoh ketegangan dan keganasan yang memuncak.

Beliau menekankan kepentingan berdiri bersama penguatkuasa undang-undang untuk memastikan ketenteraman awam terpelihara.

"Serangan ke atas komuniti tempatan dan juga terhadap polis adalah serangan yang memalukan terhadap kedaulatan undang-undang itu sendiri.

"Mereka yang cuba mencadangkan bahawa keganasan ini adalah mengenai protes dan rungutan membuat alasan untuk penjenayah dan samseng," tulis Cooper.

Cooper turut menegaskan bahawa walaupun ramai orang di seluruh Britain mempunyai pandangan tegas mengenai isu-isu seperti undang-undang dan ketenteraman, imigresen, dan Perkhidmatan Kesihatan Nasional (NHS), mereka tidak menggunakan keganasan.

-- BERNAMA-AGENSI ANADOLU


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan