DUNIA > BERITA

Rusia, Ukraine Saling Tuduh-menuduh Kerosakan Loji Nuklear Zaporizhzhia

12/08/2024 10:45 PM

MOSCOW, 12 Ogos (Bernama-Anadolu) -- Rusia dan Ukraine saling menyalahkan satu sama lain berhubung kebakaran yang berlaku di satu daripada menara penyejuk Loji Kuasa Nuklear (NPP) Zaporizhzhia, loji kuasa nuklear terbesar di Eropah, lapor Agensi Anadolu.

Walaupun serangan artileri dan dron telah dilakukan di sekitar NPP yang berada di bawah kawalan Rusia sejak Mac 2022, Ukraine dan Rusia saling menyalahkan antara satu sama lain atas serangan itu.

Tuduhan terbaharu berlaku lewat Ahad apabila Yevgeny Balitsky, gabenor Zaporizhzhia yang dilantik Rusia melaporkan bahawa kebakaran berlaku di sistem penyejukan  NPP Zaporizhzhia disebabkan oleh "serangan tentera Ukraine."

Anadolu melaporkan Presiden Ukraine Volodymyr Zelenskyy dalam kenyataannya di X mendakwa tentera Rusia "memulakan" kebakaran di kawasan loji itu dan menuduh Moscow menggunakan loji berkenaan untuk "memeras ugut Ukraine, seluruh Eropah dan dunia."

Dibina antara 1984 dan 1995 di wilayah barat daya Ukraine, NPP Zaporizhzhia mempunyai enam reaktor dengan setiap satu berkapasiti 950 megawatt, dan mampu membekalkan tenaga kepada kira-kira empat juta isi rumah.

NPP Zaporizhzhia sebelum ini memenuhi 20 peratus keperluan tenaga Ukraine sebelum ia ditawan oleh Rusia, selepas itu semua enam reaktor loji berkenaan beralih kepada keadaan "penutupan sejuk."

"Tiada kesan terhadap keselamatan nuklear," kata Ketua Pengarah Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) Rafael Grossi dalam satu kenyataan berhubung insiden itu.

Kenyataan itu turut menyebut bahawa misi sokongan dan bantuan IAEA di loji berkenaan meminta akses segera ke menara penyejuk untuk menilai kerosakan.

Pegawai Rusia dan Ukraine menyatakan bahawa kebakaran di sistem penyejukan NPP Zaporizhzhia telah berjaya dipadamkan, dan tahap radiasi latar belakang di kawasan itu adalah normal.

-- BERNAMA-AGENSI ANADOLU


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan