DUNIA > BERITA

Kebakaran Di Loji Tenaga Nuklear Zaporizhzhia Tidak Mungkin Disebabkan Serangan Dron: IAEA

13/08/2024 03:36 PM

WASHINGTON, 13 Ogos (Bernama-Anadolu) -- Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) pada Isnin berkata bahawa pakarnya melawat menara penyejuk yang rosak di Loji Tenaga Nuklear Zaporizhzhia (ZNPP) di Ukraine dan tidak menemukan sebarang kesan dron.

"Berdasarkan pemerhatian, pasukan menilai bahawa tidak mungkin sumber utama kebakaran bermula di dasar menara penyejuk," kata Ketua Pengarah IAEA Rafael Grossi dalam kenyataan, menurut Agensi Anadolu.

Kenyataannya dibuat sehari selepas Ukraine dan Rusia saling menuduh berikutan laporan mengenai kebakaran di satu daripada sistem penyejukan loji tenaga yang dikawal oleh Rusia itu.

Rusia menuduh tentera Ukraine menyerang menara penyejuk dengan kenderaan udara tanpa pemandu (UAV), manakala Presiden Ukraine Volodymyr Zelenskyy menuduh tentera Rusia menyebabkan kebakaran di loji itu.

Semasa melawat menara penyejuk yang terjejas, Grossi berkata pasukan itu melihat kawasan terbakar pada peralatan dalaman di bahagian atas, berhampiran paras pengagihan muncung air.

Sampel serpihan, termasuk plastik yang terbakar dan cair, telah dikumpul, katanya sambil menambah:

"Tiada tayar atau kesan dron yang ditemukan semasa pemeriksaan."

Pasukan itu mengesahkan bahawa tiada tanda gangguan ketara pada serpihan, abu atau jelaga di dasar menara penyejuk dan keselamatan nuklear loji berkenaan tidak terjejas, tegasnya.

"Pasukan itu belum dapat membuat kesimpulan muktamad berdasarkan penemuan dan pemerhatian setakat ini," kata Grossi.

Beliau berkata IAEA akan meneruskan analisis keseluruhannya selepas kajian tambahan dan akses ke paras pengagihan muncung air dan kolam air sejuk.

-- BERNAMA-ANADOLU


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan