DUNIA > BERITA

Pelepasan Imigresen Tanpa Pasport, Kod QR Untuk Penunggang Motosikal Di Singapura

13/08/2024 04:31 PM

Oleh Nur Ashikin Abdul Aziz

SINGAPURA, 13 Ogos (Bernama) -- Penunggang motosikal yang tiba atau berlepas dari Singapura melalui pusat pemeriksaan Woodlands dan Tuas boleh menggunakan kod QR yang dijana daripada aplikasi mudah alih MyICA sebagai ganti pasport mulai Khamis.

Pihak Berkuasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) memaklumkan ia adalah sebahagian daripada inisiatif untuk memudahkan proses imigresen tanpa pasport di bawah Konsep Pelepasan Baru yang sebelum ini terhad kepada pengembara menggunakan kereta dan pemandu bas.

“Penunggang motosikal dan pembonceng hanya perlu mengemukakan satu kod QR untuk pelepasan imigresen berbanding mengimbas dua pasport, sekali gus mengurangkan masa untuk proses imigresen,” menurut ICA dalam satu kenyataan pada Selasa.

ICA juga mempertingkatkan Sistem Pengenalan Biometrik Bagi Penunggang Motosikal (BIKES) bagi meningkatkan kecekapan pelepasan di pusat pemeriksaan darat.

“Sistem BIKES ditambah dengan pelepasan kod QR akan mengurangkan proses pelepasan imigresen bagi penunggang dan pembonceng motosikal sekitar 30 peratus,” menurut kenyataan itu.

Bagaimanapun, pelawat asing buat kali pertama dan warga asing yang memasuki semula Singapura menggunakan pasport berbeza dari lawatan sebelum ini perlu mengemukakan pasport mereka untuk pelepasan imigresen.

Pelawat juga masih perlu membawa pasport mereka kerana ICA mungkin masih memerlukannya untuk pengesahan.

Inisiatif pelepasan kod QR akan dilanjutkan kepada pemandu kenderaan kargo dan kelindan pada 30 Ogos, dan kepada penumpang bas menjelang Disember 2024.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan