DUNIA > BERITA

Malaysia-Indonesia Perkukuh Kerjasama Sejarah Dan Budaya Melalui Program Citra Nusa

13/08/2024 07:51 PM

JAKARTA, Ogos 13 (Bernama) -- Menteri Perpaduan Negara Aaron Ago Dagang pada Selasa merasmikan pameran dan festival ‘Program Citra Nusa @Indonesia: Kita Serumpun’ untuk mewujudkan kesedaran dan kefahaman tentang ikatan hubungan sejarah dan budaya di antara Malaysia-Indonesia.

Program anjuran Kementerian Perpaduan Negara melalui Jabatan Muzium Malaysia turut mempromosi konsep Malaysia MADANI yang berteraskan sikap saling menghormati, meraikan kepelbagaian dan medan dialog peradaban, selari dengan Piagam ASEAN iaitu ‘Satu Visi, Satu Identiti serta Satu Komuniti Penyayang dan Prihatin.’

“Hubungan tradisi Malaysia-Indonesia yang diasaskan kepada nilai sepunya dari sudut rumpun yang sama perlu terus diraikan dengan semangat setiakawan yang utuh,” katanya kepada pemberita di Muzium Kebangkitan Nasional di Jakarta Pusat.

Menurut Aaron, Malaysia dan Indonesia mempunyai hubungan istimewa kerana kedua-dua negara mempunyai persamaan yang terbentuk daripada perkongsian ikatan sejarah, budaya, kulinari dan bahasa.

Sejarah kegemilangan kerajaan Srivijaya, Majapahit, Melaka, Johor Lama, Perlak dan Pasai menjadi bukti ketamadunan di rantau ini.

“Sebanyak 11 Program Citra Nusa yang telah dirancang untuk meningkatkan pengetahuan dan penghayatan khazanah warisan negara dalam kalangan masyarakat,” katanya.

Pameran ‘Kita Serumpun’ dari 1 hingga 31 Ogos bertujuan meningkatkan kefahaman masyarakat Indonesia terhadap Malaysia bagi menjamin kelestarian hubungan erat sedia terjalin sekali gus mengharmonikan isu-isu tertentu antara kedua-dua negara meliputi bidang sejarah dan budaya.

‘Festival Kita Serumpun’ pula menampilkan persembahan kebudayaan, demontrasi permainan tradisional, demontrasi kulinari dan program pendidikan muzium yang melibatkan penyertaan enam negeri dari Malaysia iaitu Melaka, Selangor, Negeri Sembilan, Johor, Kelantan dan Kedah.

“Program ini menjadi rangsangan kepada masyarakat setempat khususnya di Kota Jakarta ini untuk berterusan menghayati erti sejarah dan ketamadunan melalui semua aktiviti yang dianjurkan," kata Aaron.

Beliau turut menekanan peranan muzium sebagai penyimpan khazanah negara melalui koleksi artifak yang menjadi sumber rujukan masyarakat untuk melahirkan generasi berilmu dan kaya jiwa sejarahnya.

Keseluruhan koleksi Jabatan Muzium Malaysia setakat ini berjumlah 437,142 koleksi, 74 peratus terdiri daripada koleksi arkeologi, 18 peratus spesimen alam semula jadi dan lapan peratus koleksi etnologi.

Aaron berada di Indonesia sempena lawatan kerja dari 11 hingga 14 Ogos dan telah melawat Perpustakaan Nasional, Arkib Negara dan Pusat Mediasi Nasional Republik Indonesia pada Isnin.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan