DUNIA > BERITA

Kishida Umum Tarik Diri Daripada Bertanding, Anggap "Langkah Pertama Untuk Berubah"

14/08/2024 12:16 PM

TOKYO, 14 Ogos (Bernama-Kyodo) -- Perdana Menteri Jepun Fumio Kishida mengumumkan pada Rabu bahawa beliau tidak akan bertanding dalam pemilihan presiden Parti Liberal Demokratik (LDP) bulan depan dan berjanji untuk bertanggungjawab terhadap skandal pengumpulan dana politik.

Pada sidang akhbar di pejabat perdana menteri, Kishida menyatakan bahawa keputusannya untuk tidak menyertai pemilihan itu, yang akan menyebabkan beliau meletak jawatan sebagai perdana menteri, adalah "langkah pertama untuk menunjukkan bahawa LDP akan berubah," lapor agensi berita Kyodo.

Kishida menjadi perhatian dalam parti kerana cara beliau menangani skandal pengumpulan dana politik yang melibatkan beberapa faksi dalam parti itu.

Penarafan kelulusan Kabinet Kishida, yang dilancarkan pada Oktober 2021, telah merosot ke paras 20 peratus susulan skandal itu.

Walaupun popularitinya merosot, Kishida pada awalnya berhasrat untuk bertanding semula. Namun, desakan dalam LDP agar beliau meletakkan jawatan semakin meningkat kerana kebimbangan terhadap prospek parti dalam pilihan raya umum yang akan datang, kata penganalisis politik.

Setakat ini, bekas Menteri Pertahanan Shigeru Ishiba, yang popular dalam kalangan orang ramai, telah menyatakan hasratnya untuk bertanding dalam pemilihan presiden LDP. Ishiba sebelum ini pernah berkhidmat sebagai setiausaha agung LDP, jawatan kedua tertinggi dalam parti itu.

Menteri Digital Taro Kono, seorang penggubal undang-undang yang berpandangan reformis dan celik media sosial, memaklumkan kepada Naib Presiden LDP Taro Aso tentang hasratnya untuk bertanding, menurut satu sumber.

Setiausaha Agung LDP Toshimitsu Motegi, Menteri Keselamatan Ekonomi Sanae Takaichi, bekas Menteri Alam Sekitar Shinjiro Koizumi dan bekas Menteri Keselamatan Ekonomi Takayuki Kobayashi juga antara mereka yang mungkin menyertai pemilihan itu.

-- BERNAMA-KYODO


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan