DUNIA > BERITA

Lufthansa Batal Lebih Banyak Penerbangan Ke Timur Tengah

19/08/2024 09:30 PM

FRANKFURT, 19 Ogos (Bernama-dpa) -- Disebabkan situasi tidak menentu yang berterusan di Timur Tengah, Kumpulan Lufthansa telah membatalkan lebih banyak penerbangan ke rantau itu, menurut laporan Agensi Berita Jerman (dpa).

Semua penerbangan ke dan dari Tel Aviv, Tehran, Beirut, Amman dan Erbil di wilayah Kurdistan, Iraq akan terus digantung sehingga Isnin depan, 26 Ogos, syarikat itu mengumumkan di Frankfurt.

Sehingga tarikh itu, syarikat penerbangan dalam kumpulan berkenaan juga akan mengelak menggunakan ruang udara Iraq dan Iran.

Penghentian penerbangan sebelum ini berkuat kuasa sehingga Rabu.

Sebab larangan itu ialah ketegangan antara Israel dan Iran, yang dikhuatiri berpotensi membawa kepada perang yang lebih luas jauh di luar Semenanjung Gaza.

Lufthansa menawarkan pembatalan percuma kepada pelancong dengan tiket sehingga 31 Ogos.

Sekatan penerbangan terpakai kepada semua syarikat penerbangan dalam kumpulan tersebut dan kepada kedua-dua pesawat kargo dan penumpang, tanpa sebarang pengecualian atau perbezaan.

Selain daripada syarikat induk, Kumpulan Lufthansa termasuk Swiss, Austrian, Brussels Airlines dan Eurowings.

-- BERNAMA-dpa


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan