DUNIA > BERITA

Rundingan Gencatan Senjata Dan Penyelesaian Politik, Jalan Keluar Isu Palestin-Israel

23/08/2024 01:59 PM

BEIJING, 23 Ogos (Bernama-CMG) -- Wakil Tetap China ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Fu Cong menegaskan rundingan gencatan senjata dan penyelesaian politik adalah jalan keluar bagi isu antara Palestin dan Israel.

Berucap pada sesi terbuka Majlis Keselamatan mengenai isu Palestin-Israel pada Khamis, Fu berkata penggunaan cara ketenteraan demi mencapai "kemenangan sepenuhnya" di kawasan Gaza tidak akan mewujudkan sebarang syarat bagi pembebasan tahanan, dan tidak akan membawa keamanan dan ketenteraman kepada Israel dan rantau berkenaan.

"Ia hanya akan mengorbankan lebih banyak nyawa yang tidak berdosa," kata Fu.

Beliau menyatakan bahawa masyarakat antarabangsa berulang kali mengeluarkan seruan untuk mewujudkan gencatan senjata dan menamatkan peperangan, manakala Perhimpunan Agung PBB, Majlis Keselamatan dan Mahkamah Keadilan Antarabangsa juga membuat tuntutan yang jelas.

"Walau bagaimanapun, Israel tidak mempedulikan seruan dan tuntutan tersebut, tidak menunjukkan sebarang tanda untuk menghentikan operasi ketenteraan.

Beliau menegaskan bahawa isu kemanusiaan tidak boleh dipolitikkan, kelaparan tidak boleh digunakan sebagai senjata, dan nyawa rakyat jelata tidak boleh digunakan untuk tawar-menawar.

"China menggesa Israel dengan serta-merta menghentikan operasi ketenteraan, mengelakkan tindakan meruncingkan situasi, dan berhenti meletakkan halangan bagi gencatan senjata di Gaza," kata Fu.

-- BERNAMA-CMG


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan