DUNIA > BERITA

Mayat 27 Warga India Terlibat Dalam Nahas Bas Dibawa Pulang Dengan Jalan Darat Dan Udara

24/08/2024 06:31 PM

NEW DELHI, 24 Ogos (Bernama-Xinhua) -- Mayat 27 warga India yang terbunuh dalam kemalangan bas di Nepal akan dibawa pulang ke India pada Sabtu, menurut pegawai, lapor Xinhua.

Kemalangan itu berlaku pada Jumaat selepas sebuah bas persiaran dari Uttar Pradesh, India tergelincir dari lebuh raya dan terhumban ke dalam Sungai Marsyangdi di tengah Nepal, mengorbankan  27 orang dan mencederakan 16 yang lain.

Dua puluh empat daripada mangsa yang terkorban telah dikenal pasti sebagai penziarah dari negeri Maharashtra, barat India.

“Selepas bedah siasat, pihak berkuasa Nepal akan menyerahkan mayat-mayat itu kepada pegawai India, yang akan membawa mereka ke Gorakhpur di Uttar Pradesh melalui jalan darat. Dari sana, mereka akan dihantar ke Nashik menggunakan pesawat yang diatur khas oleh Tentera Udara India dan kemudian diserahkan kepada keluarga masing-masing,” kata seorang pegawai.

Bas malang yang membawa penumpang kebanyakannya dari Daerah Jalgaon, Maharashtra itu sedang dalam perjalanan ke ibu negara Nepal, Kathmandu dari pusat peranginan pelancong pergunungan di Pokhara. Bagaimanapun, ia terlibat dalam kemalangan di Daerah Tanahun, kira-kira 110 km ke barat Kathmandu.

-- BERNAMA-XINHUA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan