DUNIA > BERITA

Aliran Trafik Dijangka Sesak Di Pusat Pemeriksaan Singapura Semasa Cuti Sekolah - ICA

26/08/2024 07:07 PM

Oleh Nur Ashikin Abdul Aziz

SINGAPURA, 26 Ogos (Bernama) -- Pihak Berkuasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) menjangkakan trafik di Pusat Pemeriksaan Woodlands dan Tuas mengalami kesesakan menjelang dan sepanjang tempoh cuti sekolah dari 30 Ogos hingga 8 September.

Agensi itu menasihatkan pemandu dan pelawat untuk mengambil kira masa menunggu lebih lama dan bekerjasama dengan pegawai bertugas, mematuhi peraturan lalu lintas dan menjaga disiplin ketika berada di lorong.

“ICA tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas terhadap pelawat yang tidak mematuhi arahan pegawai dan melakukan kesalahan di pusat pemeriksaan,” kata agensi itu dalam satu kenyataan pada Isnin.

Sementara itu, rekod lebih 540,000 pelawat dilaporkan melintasi pusat pemeriksaan Woodlands dan Tuas pada 8 Ogos, semasa cuti hujung minggu sempena Hari Kebangsaan dari 8 hingga 13 Ogos, dengan  pelawat yang menaiki kereta terpaksa menunggu sehingga tiga jam sebelum melepasi pemeriksaan imigresen.

ICA menggalakkan mereka yang menaiki kereta dan motosikal untuk menggunakan kod QR yang dijana melalui aplikasi mudah alih MyICA sebagai pengganti pasport bagi memudahkan dan mempercepatkan proses pelepasan imigresen.

Sebagai alternatif, mereka boleh mempertimbangkan untuk menggunakan perkhidmatan bas rentas sempadan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan