DUNIA > BERITA

Penahanan CEO Telegram Bukan Keputusan Politik - Macron

27/08/2024 01:54 PM

WASHINGTON, 27 Ogos (Bernama-UPI) -- Presiden Perancis Emmanuel Macron pada Isnin menegaskan bahawa penahanan pegawai tertinggi gergasi teknologi Telegram pada hujung minggu lepas bukanlah keputusan politik oleh kerajaannya, lapor United Press International (UPI).

"Penahanan Presiden Telegram di wilayah Perancis dilakukan sebagai sebahagian daripada siasatan kehakiman yang sedang dijalankan.

"Ini sama sekali bukan keputusan politik. Terpulang kepada hakim untuk memutuskannya," tulis Macron pada pagi Isnin waktu tempatan dalam satu hantaran di X.

Ketua Pegawai Eksekutif Telegram Pavel Durov, 39, yang merupakan seorang bilionair telah ditahan polis Perancis pada Sabtu malam selepas jet peribadinya mendarat di Lapangan Terbang Le Bourget di utara Paris.

Penahanan itu sebagai sebahagian daripada siasatan terbuka yang bermula pada 8 Julai mengenai dakwaan Telegram terlibat dalam penyebaran pornografi kanak-kanak, pengedaran dadah, dan jenayah terancang.

Durov dituduh gagal mengambil langkah-langkah untuk membendung penggunaan Telegram bagi tujuan jenayah.

Bagaimanapun, pendakwa raya di Paris berkata penyiasatan itu dibuka "terhadap individu yang tidak dikenali" dan bukan khusus terhadap Durov yang mempunyai kewarganegaraan Perancis dan masih dalam tahanan.

Dalam satu kenyataan, pegawai Telegram memberitahu POLITICO bahawa Durov "tidak mempunyai apa-apa yang perlu disembunyikan" sambil mendakwa syarikat teknologi itu telah mematuhi undang-undang Eropah.

Durov – yang dilahirkan di Rusia, menetap di Dubai, dan memiliki dua kewarganegaraan di Perancis dan Emiriah Arab Bersatu – didakwa gagal bekerjasama dengan pegawai penguatkuasa undang-undang yang menyatakan beliau juga gagal mengawal kandungan di Telegram.

Pendakwa raya Perancis berkata Pusat Memerangi Jenayah Digital dan Pejabat Anti-Penipuan Kebangsaan telah dimaklumkan mengenai siasatan itu, dan penahanan Durov telah dilanjutkan pada Ahad oleh seorang hakim untuk tempoh tambahan 96 jam sehingga Rabu.

Telegram yang mempunyai lebih 900 juta pengguna ialah aplikasi permesejan yang popular dan digunakan oleh pelbagai golongan, menduduki tempat di belakang platform media sosial global lain seperti Facebook, X, YouTube, WhatsApp, Instagram, TikTok, dan WeChat.

Durov mengasaskan Telegram pada 2013 dan meninggalkan Rusia setahun kemudian selepas enggan mematuhi tuntutan kerajaan untuk menutup komuniti pembangkang di platform media sosial VKontakte miliknya, yang kemudian dijualnya.

Penahanan Durov telah mencetuskan kemarahan tokoh-tokoh terkenal seperti pemberi maklumat Edward Snowden dan bilionair Elon Musk yang juga pemilik X.

Kedutaan Rusia di Paris mengeluarkan kenyataan di media sosial menyatakan bahawa pihaknya telah meminta penjelasan mengenai penahanan Durov tetapi belum menerima maklum balas daripada pegawai Perancis.

-- BERNAMA-UPI


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan