DUNIA > BERITA

Malaysia Mohon Tambahan Kuota Haji - Mohd Na'im

27/08/2024 01:59 PM

Oleh Noor Bakhtiar Ahmad

KUALA LUMPUR, 27 Ogos (Bernama) -- Malaysia telah menyatakan hasrat kepada Arab Saudi supaya kuota Haji negara ditambah, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar.

Mohd Na’im berkata perkara itu disampaikan semasa pertemuan beliau bersama Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi Dr Tawfiq Fawzan Al-Rabiah, pada Isnin (26 Ogos).

"Dalam pertemuan ini saya telah membangkitkan beberapa perkara penting antaranya permohonan menambah kuota jemaah haji Malaysia bersesuaian dengan populasi rakyat Malaysia. 

"Semoga hubungan baik kerajaan Malaysia dan Arab Saudi akan memberikan manfaat kepada umat Islam," kata Mohd Naim menerusi hantaran di akaun Facebook miliknya.

Pertemuan itu turut dihadiri oleh Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Khairul Firdaus Akhbar Khan dan Pengerusi Lembaga Tabung Haji Tan Sri Rashid Hussain.

Mohd Na'im berkata lawatan kerja rasmi Dr Tawfiq menyerlahkan keyakinan Kerajaan Arab Saudi kepada keupayaan Malaysia sebagai contoh program Makkah Route pada Musim Haji yang lepas.

Dr Tawfiq dalam rangka lawatan ke Malaysia Isnin hingga Rabu (26-28 Ogos) untuk mengukuhkan lagi hubungan dua hala antara kerajaan Arab Saudi dan Malaysia.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan