DUNIA > BERITA

Arab Saudi Kecam Cadangan Menteri Israel Bina Rumah Ibadat Yahudi Di Masjid Al-aqsa

28/08/2024 02:40 PM

RIYADH, 28 Ogos (Bernama-Xinhua) -- Arab Saudi pada Selasa mengecam kenyataan Menteri Keselamatan Israel Itamar Ben-Gvir yang mencadangkan pembinaan sebuah synagogue (rumah ibadat Yahudi) di dalam kawasan Masjid Al-Aqsa, lapor Xinhua.

Kementerian Luar Arab Saudi dalam satu kenyataan memaklumkan "penolakan mutlak" negara itu terhadap apa yang disifatkannya sebagai "kenyataan ekstremis dan provokatif" oleh menteri Israel berhaluan kanan berkenaan. 

Kementerian itu turut menggesa agar status sejarah dan undang-undang Masjid Al-Aqsa dihormati.

Menurut kenyataan itu, kerajaan Arab Saudi memperbaharui gesaannya kepada masyarakat antarabangsa agar mengambil tanggungjawab dalam menghentikan malapetaka kemanusiaan yang ditanggung oleh rakyat Palestin serta mengaktifkan mekanisme serius untuk mendesak pegawai Israel bertangungjawab atas pelanggaran undang-undang, norma, dan resolusi antarabangsa yang berterusan.

Kawasan Masjid Al-Aqsa yang dikenali oleh orang Yahudi sebagai Temple Mount, mempunyai kepentingan suci bagi kedua-dua umat Islam dan Yahudi dan telah lama menjadi punca konflik antara kedua-dua pihak.

Mengikut status quo, penganut bukan Islam dibenarkan melawat kawasan itu di tengah-tengah Kota Lama tetapi tidak dibenarkan berdoa di sana.

Dalam kenyataan kepada Radio Tentera Israel pada Isnin Ben-Gvir berkata "orang Yahudi harus dibenarkan berdoa di Temple Mount".

Menurut beliau, sepanjang tempoh perkhidmatannya sebagai menteri keselamatan "tiada diskriminasi" antara Yahudi dan Muslim.

Bagaimanapun, Pejabat Perdana Menteri Israel dalam kenyataannya menegaskan bahawa "tiada perubahan dalam status quo di Temple Mount."

Sementara itu, Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dalam kenyataan yang disiarkan di laman sesawangnya turut mengutuk kenyataan Ben-Gvir berhubung pembinaan rumah ibadat Yahudi di dalam kawasan Masjid Al-Aqsa.

OIC turut mengecam "pencerobohan berterusan dan pencemaran kawasan Masjid Al-Aqsa" oleh kumpulan peneroka pelampau dan menteri dalam kerajaan Israel yang dilindungi oleh tentera Israel, menyifatkan tindakan itu sebagai kesinambungan pelanggaran Israel terhadap kesucian tapak suci dan kebebasan beribadat serta "pelanggaran terang-terangan" Konvensyen Geneva dan undang-undang antarabangsa.

Setiausaha Agung Majlis Kerjasama Teluk (GCC), Jasem Mohamed Albudaiwi, turut mengecam kenyataan menteri Israel itu dengan mengatakan ia mengesahkan hasrat Israel untuk terus mencetuskan ketegangan dan memastikan kestabilan tidak dicapai di rantau itu.

Sementara itu, Kementerian Luar Jordan pada Selasa mengutuk sekeras-kerasnya rancangan Israel yang dilaporkan untuk membiayai pencerobohan peneroka Yahudi ke kawasan Masjid Al-Aqsa.

Kementerian itu dalam satu kenyataan menyifatkan rancangan itu sebagai pencabulan undang-undang antarabangsa secara terang-terangan dan tidak boleh diterima sambil menggesa pendirian jelas masyarakat antarabangsa untuk mengecam dan menentangnya.

Jurucakap Kementerian Luar Jordan Sufian Qudah berkata tindakan itu mencerminkan dasar sistematik Israel untuk mengubah status quo sejarah dan undang-undang di Baitulmuqaddis dan tapak sucinya.

Qudah memberi amaran bahawa tindakan itu boleh meningkatkan lagi ketegangan di Tebing Barat dan mencetuskan kitaran kekacauan dan keganasan, terutamanya selepas peningkatan operasi ketenteraan Israel dan keganasan oleh peneroka Israel di kawasan itu.

Beliau menegaskan semula bahawa Masjid Al-Aqsa adalah tempat ibadat eksklusif bagi umat Islam dan diselia oleh Waqaf Jordan.

-- BERNAMA-XINHUA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan