BERITA TERGEMPAR   ACE Market-bound Solar District Cooling Group Bhd aims to raise RM45.09 million from IPO; scheduled to list on Sept 19, 2024 | 
 DUNIA > BERITA

China, AS Mulakan Pusingan Baharu Komunikasi Strategik

28/08/2024 02:46 PM

BEIJING, 28 Ogos (Bernama-CMG) -- Pengarah Pejabat Suruhanjaya Pusat bagi Hal Ehwal Luar Wang Yi memulakan pusingan baharu komunikasi strategik China-Amerika Syarikat (AS) bersama Penasihat Keselamatan Negara Rumah Putih Jake Sullivan di sini pada Selasa.

Wang yang juga merupakan ahli Biro Politik Jawatankuasa Pusat Parti Komunis China (PKC) berkata pelaksanaan konsensus yang dicapai oleh pemimpin kedua-dua negara di San Francisco antara tugas utama sesi komunikasi kali ini.

Beliau menyatakan hubungan China-AS telah mengharungi banyak cabaran dalam beberapa tahun lalu, sambil menambah bahawa di bawah bimbingan strategik Presiden Xi Jinping dan Presiden Joe Biden, dua negara berjaya mencapai 'Return to Bali, Move Toward San Francisco'.

"Pengalaman diraih sepanjang proses itu harus dirumuskan dan pengajaran daripadanya perlu diambil.

"Kuncinya diletak pada prinsip saling menghormati, hidup bersama secara aman dan kerjasama saling untung," tegas Wang.

Beliau turut menzahirkan harapan agar komunikasi berkenaan dilakukan secara strategik dan substantif seperti dahulu, serta lebih konstruktif.

"Kedua-dua pihak harus mengatasi gangguan dan menghapuskan halangan untuk menggerakkan hubungan bilateral ke arah Visi San Francisco sehingga mewujudkan perkembangan yang stabil, sihat dan mampan," katanya.

Sementara itu, Sullivan berkata Presiden Biden komited menguruskan hubungan AS-China dengan bertanggungjawab dan mengelak persaingan daripada menjadi konflik sambil bekerjasama dalam bidang yang mempunyai kepentingan bersama.

"Menerusi komunikasi kali ini, kami (AS) berharap dapat mengadakan dialog produktif dengan pihak China mengenai pelbagai isu dan melaksanakan konsensus dicapai antara ketua negara," kata Sullivan.

-- BERNAMA-CMG

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan