DUNIA > BERITA

Tiada Rakyat Malaysia Terjejas Taufan Shanshan Setakat Ini

29/08/2024 09:45 PM

PUTRAJAYA, 29 Ogos (Bernama) -- Tiada rakyat Malaysia dilaporkan terlibat atau terjejas akibat Taufan Shanshan yang mendarat di Kepulauan Kyushu, Jepun pada pagi Khamis, menurut Kementerian Luar Negeri. 

Kementerian dalam satu kenyataan berkata maklumat yang diterima adalah terkini setakat 4 petang waktu tempatan hari ini. 

"Taufan itu dijangka bergerak ke arah barat daya Jepun sebelum menuju ke arah utara dan melintasi kawasan pertengahan Jepun seperti Wilayah Kanto (termasuk Tokyo) dalam beberapa hari akan datang," menurut Kementerian sambil menambah bahawa ia sedang memantau perkembangan itu dengan teliti. 

Sehubungan itu, Kementerian menggesa rakyat Malaysia di kawasan yang terjejas untuk sentiasa berwaspada dan mengikuti perkembangan serta panduan terkini yang diberikan oleh pihak berkuasa tempatan.

Rakyat Malaysia yang belum mendaftar dan mengemas kini keberadaan dan butiran mereka amat digalakkan untuk berbuat demikian di https://ekonsular.kln.gov.my. 

Mereka yang memerlukan bantuan konsular boleh menghubungi Kedutaan Besar Malaysia di Tokyo di 20-16, Nanpeidai-cho, Shibuya-ku, 150-0036 Tokyo, atau menghubungi kedutaan melalui telefon di +81-3-3476-3840 atau +81-80-4322-3366 (kecemasan), atau melalui e-mel di mwtokyo@kln.gov.my dan consular.tyo@kln.gov.my.

Agensi Berita Kyodo melaporkan cuaca buruk mengakibatkan 80 orang mengalami kecederaan dan tiga kematian.

-- BERNAMA


 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan