DUNIA > BERITA

Brazil Gantung Penggunaan X

31/08/2024 10:42 AM

MEXICO CITY, 31 Ogos (Bernama-Anadolu) -- Seorang hakim Mahkamah Agung Brazil memerintahkan untuk menggantung penggunaan platform media sosial X di seluruh negara itu, lapor Agensi Anadolu (AA) pada Jumaat.

Tindakan tegas itu dibuat di tengah-tengah dakwaan bahawa X yang dimiliki oleh bilionair Elon Musk berulang kali gagal mematuhi perintah mahkamah dan peraturan Brazil.

Dalam satu kenyataan, Hakim Alexandre de Moraes berkata: "Kegagalan mematuhi perintah mahkamah secara berulang, sedar, dan sengaja serta kegagalan mematuhi denda harian, ditambah pula dengan percubaan untuk mengelak daripada sistem perundangan dan badan kehakiman Brazil, telah membawa kepada penciptaan persekitaran bebas daripada hukuman dan 'tanah tanpa undang-undang' di rangkaian sosial Brazil."

Mahkamah turut menekankan kebimbangan bahawa platform itu telah menjadi medium untuk menyebarkan retorik kebencian dan perkauman sekali gus menjejaskan proses demokrasi negara.

Pada 28 Ogos, Hakim Moraes telah memberi tempoh 24 jam kepada Musk untuk melantik wakil undang-undang di Brazil, memberi amaran bahawa kegagalan berbuat demikian akan menyebabkan penggantungan X di negara itu.

Berikutan tekanan undang-undang yang semakin meningkat serta denda daripada badan kehakiman Brazil, Musk telah menutup pejabat X di negara itu minggu lepas.

Mahkamah Agung kini mengarahkan Agensi Telekomunikasi Nasional (Anatel) untuk memutuskan sambungan rangkaian media sosial itu di seluruh negara dalam tempoh 24 jam. 

Syarikat seperti Apple dan Google diberi masa lima hari untuk mengeluarkan aplikasi X daripada gedung dalam talian mereka.

Musk kemudiannya menggunakan platform X untuk mengkritik Hakim Moraes. Namun, beliau belum mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung denda dan siasatan terkini daripada badan kehakiman Brazil.

-- BERNAMA-ANADOLU


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan