DUNIA > BERITA

Kenya Sahkan Kes Ketiga Mpox

31/08/2024 11:24 AM

NAIROBI, 31 Ogos (Bernama-Xinhua) -- Kementerian Kesihatan Kenya pada Jumaat mengumumkan kes ketiga cacar monyet atau mpox, sambil menegaskan pengawasan yang lebih ketat di pintu masuk negara bagi mengelakkan penularan besar-besaran penyakit virus yang mudah berjangkit itu, lapor Xinhua.

Ketua Pengarah Kesihatan Kenya Patrick Amoth berkata kes ketiga itu dikesan daripada seorang wanita berusia 30 tahun di Nairobi yang mempunyai sejarah perjalanan ke negara jiran Uganda.

"Dia berada dalam keadaan stabil dan sedang menjalani rawatan di unit isolasi di Nairobi," kata Amoth dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di Nairobi, sambil menambah bahawa pesakit itu telah mengunjungi Uganda minggu lepas.

Kakitangan kesihatan sebelum ini mengesan dua kes mpox di daerah Taita Taveta yang bersempadan dengan Tanzania dan di daerah Busia, barat Kenya yang bersempadan dengan Uganda.

Amoth memberi jaminan kepada orang ramai bahawa pengawasan aktif terhadap kes yang disyaki sedang dijalankan di seluruh negara bagi menghentikan penularan selanjutnya penyakit itu yang menunjukkan gejala seperti ruam kulit, demam, sakit tekak, sakit kepala dan nodus limfa bengkak.

Di Kenya, Amoth mendedahkan bahawa sejumlah 89 sampel telah dihantar ke makmal untuk ujian virus mpox dengan 79 sampel didapati negatif, tiga sampel telah diuji positif manakala tujuh sampel lagi sedang dianalisis.

Menurut Amoth, setakat ini Kenya telah menyaring 582,847 pengembara di 26 pintu masuk negara yang ditetapkan, manakala 17 kontak rapat berada di bawah pemerhatian rapi.

Beliau berkata pesakit kedua yang disahkan menghidap mpox telah sembuh sepenuhnya dan telah dibenarkan keluar dari fasiliti kesihatan manakala fasiliti kesihatan awam di seluruh negara cukup bersedia untuk mendiagnosis dan merawat mpox.

Kenya mengisytiharkan kes pertama mpox pada 31 Julai dan kes kedua pada 23 Ogos, mendorong pihak berkuasa kesihatan meningkatkan kewaspadaan di pintu masuk negara.

-- BERNAMA-XINHUA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan