DUNIA > BERITA

Raja Charles III, Diplomat Asing Zahir Ucapan Tahniah Kepada Malaysia Sempena Hari Kebangsaan Ke-67

31/08/2024 03:47 PM

KUALA LUMPUR, 31 Ogos (Bernama) -- Raja England Raja Charles III dan diplomat asing di Malaysia menzahirkan ucapan tahniah kepada negara sempena Hari Kebangsaan ke-67 yang disambut pada Sabtu.

Dalam mesej yang dimuat naik di platform media sosial Suruhanjaya Tinggi United Kingdom (UK), Raja Charles III menyampaikan ucapan tahniah bagi pihak baginda dan permaisuri, sambil menzahirkan kekaguman terhadap hubungan erat antara kedua-dua negara.

"Sempena Hari Kebangsaan yang istimewa ini, beta dan permaisuri ingin menzahirkan ucapan setinggi-tinggi tahniah kepada Yang di-Pertuan Agong (Sultan Ibrahim) dan rakyat Malaysia."

"Beta menghargai ikatan erat yang terjalin antara negara kita, dan beta yakin bahawa hubungan kita akan terus berkembang dalam tahun ulang tahun yang sangat istimewa ini - peringatan yang sesuai tentang nilai dan aspirasi berkekalan yang menyatukan kita," titah Raja Charles.

Menekankan kerjasama moden antara kedua-dua negara, Raja Charles  bertitah berkenaan peningkatan kerjasama dalam pelbagai sektor dan mengiktiraf komitmen bersama dalam menangani cabaran global, khususnya perubahan iklim.

"Beta juga meraikan perkongsian moden antara negara kita dan kerjasama yang semakin erat dalam perdagangan, pelaburan, teknologi, pendidikan dan keselamatan.

Menangani perubahan iklim adalah keutamaan bersama, dan beta mengalu-alukan usaha bersama kita untuk melindungi kepelbagaian biologi  dan menggalakkan peralihan tenaga bersih," titah baginda.

Sementara itu, Duta Amerika Syarikat (AS) ke Malaysia, Edgard D. Kagan turut menzahirkan ucapan tahniah, mengiktiraf kerjasama erat yang telah lama terjalin antara kedua-dua negara.

"AS telah berdiri bersama Malaysia sejak hari pertama kemerdekaan anda. Selama 67 tahun, kita telah membina kerjasama kukuh yang berakar umbi dalam hubungan ekonomi, keselamatan, dan hubungan antara rakyat yang rapat.

Tahun ini, kita meraikan ulang tahun ke-10 perkongsian komprehensif kita, dan hari ini, hubungan antara kedua-dua negara kita lebih kukuh berbanding sebelum ini dan terus mendalam ketika kita mencapai kemajuan menuju matlamat bersama untuk Indo-Pasifik yang bebas, terbuka, selamat, dan makmur.

Kami berharap dapat meneruskan persahabatan dan mengukuhkan kerjasama kita," katanya.

Pemangku Pesuruhjaya Tinggi British ke Malaysia, David Wallace turut berkongsi penghargaannya terhadap kekayaan kepelbagaian budaya negara.

"Saya merasai keistimewaan untuk menghadiri perarakan Hari Kebangsaan di Putrajaya hari ini. Ia adalah satu paparan kepelbagaian dan kebersamaan yang mengagumkan, terutamanya Kontinjen Komuniti Malaysia MADANI, yang mempamerkan pakaian tradisional, alatan, dan persembahan daripada pelbagai komuniti etnik dengan begitu hebat.

Saya tahu Hari Kebangsaan turut disambut oleh ramai rakyat Malaysia di UK (United Kingdom) dan oleh komuniti British di Malaysia juga. Hubungan erat antara rakyat kita menjadi asas kukuh untuk membina kerjasama moden antara UK dan Malaysia," kata Wallace.

Berlatarbelakangkan Bangunan Sultan Abdul Samad yang bersejarah, Duta Jepun ke Malaysia Katsuhiko Takahashi menzahirkan ucapan selamat untuk kesejahteraan dan kemakmuran Malaysia yang berterusan.

"Bagi pihak Kedutaan Jepun, saya ingin mengucapkan Selamat Hari  Kebangsaan kepada semua rakyat Malaysia. Semoga Malaysia terus dikurniakan dengan keamanan dan kemakmuran untuk beberapa tahun akan datang," kata Takahashi.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan