DUNIA > BERITA

Konsulat Malaysia Di Pontianak Anjur Majlis Resepsi Hari Kebangsaan Ke-67

01/09/2024 08:17 PM

JAKARTA, 1 Sept (Bernama) -- Konsulat Malaysia di Pontianak, Kalimantan Barat mengadakan majlis resepsi Hari Kebangsaan ke-67 pada malam Sabtu yang dihadiri 300 tetamu termasuk Pemangku Gabenor Kalimantan Barat, Harisson dan isteri, Windy Prihastari.

Senarai tetamu itu menampilkan tokoh terkemuka daripada Forum Penyelarasan Kepimpinan Wilayah (Forkopimda), seperti Komander Tentera Tanjungpura, Ketua Polis Wilayah Kalimantan Barat, Pendakwa Raya Tinggi, Ketua Mahkamah Tinggi Pontianak, dan Pemangku Datuk Bandar Pontianak.

Turut hadir Ketua Kastam, Ketua Bank Indonesia, Timbalan Ketua Turus Tentera Laut dan wakil Tentera Udara, bersama Friends of Malaysia, ahli komuniti perniagaan, dan diaspora Malaysia di Kalimantan.

Konsul Azizul Zekri menekankan hubungan yang semakin erat antara Malaysia dan Kalimantan Barat, yang diperkukuh melalui aktiviti dua hala dan program kerjasama yang meluas.

Beliau bercakap mengenai kesan pandemik COVID-19 ke atas kedua-dua wilayah dan memuji usaha bersama kerajaan Malaysia, khususnya kerajaan negeri Sarawak dan pentadbiran Kalimantan Barat untuk merancakkan semula ekonomi mereka.

"Sektor pelancongan, pengangkutan, pendidikan dan hal ehwal sosial semuanya menyaksikan peningkatan," kata Azizul Zekri, sambil menambah ibu kota Nusantara yang akan datang di Kalimantan Timur dijangka akan merangsang lagi pertumbuhan dan perdagangan serantau.

Beliau juga berkata Kalimantan Barat berfungsi sebagai pintu masuk ekonomi penting untuk hubungan Malaysia-Indonesia, dengan pintu masuk penting termasuk Biawak, Tebedu dan Lubuk Antu di Sarawak, serta Aruk, Entikong dan Badau di Kalimantan Barat.

Harisson, dalam ucapannya melahirkan keyakinan tentang kerjasama kukuh yang berterusan antara Malaysia dan Indonesia.

"Saya ingin mengucapkan tahniah kepada Malaysia pada Hari Kebangsaan dan berharap dapat meneruskan hubungan baik kita," katanya.

Majlis resepsi itu, yang menampilkan persembahan kumpulan Sara Music dari Sarawak, bacaan puisi bertajuk “Tanah Lahirku”, dan persembahan lagu dan silat oleh kakitangan konsulat dan anak-anak pegawai perhubungan, adalah yang pertama seumpamanya dalam tempoh beberapa tahun.

Konsulat Malaysia mula beroperasi di Pontianak pada 1982, menandakan 42 tahun kehadiran diplomatik.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan