DUNIA > BERITA

Kempen Vaksinasi Polio Di Gaza Diteruskan Di Tengah-tengah Perang Israel

02/09/2024 08:14 PM

GAZA CITY, 2 Sept (Bernama-Anadolu) -- Kempen vaksinasi polio untuk kanak-kanak di bawah umur 10 tahun diteruskan untuk hari kedua di tengah Semenanjung Gaza pada Isnin, meskipun berdepan serangan maut Israel, lapor Agensi Anadolu (AA).

Pada hari pertama kempen, pasukan daripada Agensi Kerja dan Bantuan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin (UNRWA) di Timur Dekat dan rakan kongsi mereka berjaya memberi vaksin kepada kira-kira 87,000 kanak-kanak, menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

"Usaha sedang dijalankan untuk memberikan vaksin penting ini kepada kanak-kanak," kata UNRWA dalam satu kenyataan, menekankan keperluan mendesak untuk gencatan senjata bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan penduduk.

Kempen itu memberi tumpuan di kawasan tengah Gaza dari 1 hingga 4 Sept, diikuti di Khan Younis dari 5 hingga 9 Sept dan berakhir di Gaza City dan wilayah utara dari 9 hingga 12 Sept, menurut sumber rasmi.

Pada 16 Ogos, Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres menggesa gencatan senjata kemanusiaan selama tujuh hari untuk membolehkan kempen vaksinasi polio yang menyasarkan 640,000 kanak-kanak dijalankan. Gesaan itu disokong oleh UNRWA.

Permintaan itu susulan pengumuman Kementerian Kesihatan Palestin mengenai kes polio pertama yang disahkan di Gaza, yang menjejaskan seorang kanak-kanak berusia 10 bulan.

Israel terus melancarkan serangan kejam di Semenanjung Gaza walaupun resolusi Majlis Keselamatan PBB menggesa gencatan senjata segera.

Serangan itu mengakibatkan lebih 40,700 kematian rakyat Palestin, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, dan lebih 94,100 mengalami kecederaan, menurut pihak berkuasa kesihatan tempatan.

Sekatan berterusan di Gaza menyebabkan kekurangan makanan, air bersih dan ubat-ubatan yang teruk selain menyaksikan sebahagian besar wilayah itu musnah.

-- BERNAMA-ANADOLU


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan