DUNIA > BERITA

Singapura Kekal Komited Terhadap Usaha PBB Mengenai Multilateralisme -- PM Wong

02/09/2024 10:55 PM

SINGAPURA, 2 Sept (Bernama) -- Singapura kekal komited sepenuhnya untuk menyokong usaha Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk mengukuhkan multilateralisme, termasuk Sidang Kemuncak Masa Depan akan datang, kata Perdana Menteri republik itu, Lawrence Wong.

Sidang Kemuncak Masa Depan, yang akan diadakan di New York dari 22 hingga 23 Sept, akan menghimpunkan pemimpin dunia untuk mempercepatkan usaha terhadap komitmen antarabangsa sedia ada, serta mengambil langkah konkrit untuk bertindak balas terhadap cabaran dan peluang global yang muncul.

Wong berkata beliau mengadakan pertemuan yang produktif pada Isnin dengan Setiausaha Agung PBB (UNSG) Antonio Guterres, yang berada di Singapura untuk lawatan rasmi pertamanya ke republik pulau itu dari 31 Ogos hingga 2 Sept.

"Saya menyampaikan penghargaan yang mendalam Singapura atas komitmen teguh Setiausaha Agung terhadap sistem multilateralisme berasaskan peraturan, yang penting bagi negara kecil seperti kita.

"Sejak memegang jawatan pada 2017, beliau telah mengemudi PBB melalui masa yang mencabar, daripada pandemik COVID-19 kepada ketegangan geopolitik yang semakin meningkat," katanya di Facebook.

Perdana menteri berkata kepimpinan Guterres dalam mempertahankan Piagam PBB dan menegakkan undang-undang antarabangsa adalah patut dicontohi.

Wong menambah UNSG secara konsisten menggesa pemimpin global untuk menangani isu kritikal seperti kemiskinan dan perubahan iklim, walaupun mereka berhadapan dengan cabaran baharu seperti kecerdasan buatan (AI).

Kementerian Luar Singapura (MFA) berkata dalam satu kenyataan bahawa Guterres juga membuat kunjungan hormat ke atas Presiden Tharman Shanmugaratnam dan mereka membincangkan cara praktikal untuk mengukuhkan kerjasama pelbagai hala untuk menangani risiko dan peluang pembangunan mampan dan teknologi baharu dengan berkesan.

UNSG juga bertemu dengan Menteri Kanan Lee Hsien Loong dan mereka mengadakan perbincangan yang meluas meliputi perkembangan global dan serantau.

Sehari sebelum itu, Guterres dibawa melawat Marina Barrage dan Perpustakaan Wilayah Punggol.

MFA berkata satu hibrid orkid baharu dinamakan sebagai Dendrobium Antonio Guterres, sebagai penghormatan kepada UNSG.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan