DUNIA > BERITA

China, Afrika Selatan Eratkan Lagi Hubungan Kerjasama

03/09/2024 03:08 PM

BEIJING, 3 Sept (Bernama-CMG) -- Presiden China Xi Jinping dan rakan sejawatannya dari Afrika Selatan Cyril Ramaphosa pada Isnin mengumumkan untuk meningkatkan hubungan dua hala antara kedua-dua negara ke tahap perkongsian strategik dalam segenap aspek untuk era baharu.

Perkara itu dicapai semasa kedua-dua pemimpin mengadakan perbincangan di Dewan Besar Rakyat di sini.

Xi menekankan bahawa terdapat tiga perkara yang perlu digariskan semula dalam perkembangan hubungan dua hala iaitu garis panduan dalam bidang politik untuk kemajuan bersama, kerjasama yang berorientasikan sama untung dan sama menang, serta peningkatan kebersamaan dalam kalangan rakyat secara turun-temurun.

"Forum Kerjasama China-Afrika berperanan sebagai teladan bagi Kerjasama Selatan-Selatan dan juga peneraju bagi kerjasama masyarakat antarabangsa membabitkan Afrika. China bersedia bersama-sama dengan pelbagai negara Afrika, termasuk Afrika Selatan terus mencetuskan momentum baharu untuk menggalakkan kerjasama yang berkualiti," katanya.

Menurut Xi, semakin rumit situasi antarabangsa, semakin mendesak bagi  negara-negara 'Selatan Global' untuk meningkatkan kemandirian, perpaduan dan koordinasi serta sinergi memelihara keadilan dan kesamarataan di persada antarabangsa.

“China bersedia meningkatkan koordinasi multilateral dengan Afrika Selatan dalam senario global, dan memberi sokongan yang jitu kepada Afrika Selatan selaku pengerusi bergilir Kumpulan 20 pada tahun depan," kata beliau.

Sementara itu, Ramaphosa dalam perbincangan berkenaan pula menyatakan bahawa Afrika Selatan bersedia terus menjadi sahabat China yang boleh dipercayai, memanfaatkan penjalinan perkongsian strategik dalam segenap aspek untuk era baharu dengan China, meneroka dan memperdalam kerjasama dalam bidang pelaburan ekonomi dan perdagangan, infrastruktur, sumber tenaga alternatif dan pembasmian kemiskian.

Menurut beliau, Afrika Selatan juga sedia mengeratkan pertukaran dan lawatan dalam bidang sosiobudaya dan pendidikan supaya dapat membuahkan hasil yang lebih banyak dalam perkembangan hubungan dua hala yang dilihat kondusif bagi pemodenan Afrika Selatan.

"Afrika Selatan konsisten dalam mengamalkan dasar Satu China," tambah beliau.   

Selepas perbincangan itu berakhir, kedua-dua pemimpin bersama-sama menyaksikan penandatanganan sejumlah dokumen kerjasama dua hala yang melibatkan pelbagai bidang.

-- BERNAMA-CMG 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan