DUNIA > BERITA

Penghantaran Baharu Vaksin Polio Tiba Di Gaza - Kementerian Kesihatan Palestin

04/09/2024 02:27 PM

RAMALLAH, 4 Sept (Bernama-Anadolu) -- Kementerian Kesihatan Palestin pada Selasa mengumumkan penghantaran baharu vaksin polio berjumlah 350,000 dos telah tiba di Gaza.

Penghantaran itu dibuat ketika kempen vaksinasi di wilayah terbabit diteruskan di tengah-tengah serangan Israel yang berlanjutan, lapor Agensi Anadolu.

“Sebanyak 350,000 dos tambahan vaksin polio tiba di Gaza pada malam Selasa dan disimpan di dalam peti sejuk di gudang Kementerian Kesihatan di Deir al-Balah,” kata Menteri Kesihatan Palestin, Majed Abu Ramadan dalam satu kenyataan.

Beliau menjelaskan langkah itu diselaraskan dengan Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF).

“Dengan ketibaan kumpulan kedua vaksin di Gaza, jumlah dos yang diterima oleh wilayah itu kini sekitar 1.6 juta, mencukupi untuk pemberian vaksin semua kanak-kanak dari awal kelahiran hingga 10 tahun dengan dua dos suntikan,” katanya.

Terdahulu pada Selasa, Kementerian Kesihatan Gaza mengumumkan kempen vaksinasi kini memasuki hari ketiga dengan hampir 159,000 kanak-kanak divaksin menjelang hari kedua kempen di tengah Gaza.

Pada 25 Ogos, Kementerian Kesihatan Palestin mengumumkan ketibaan kumpulan pertama vaksin berjumlah 1.26 juta dos.

Kempen vaksinasi ini memberi tumpuan kepada kawasan tengah Gaza dari 1 hingga 4 Sept, diikuti Khan Younis dari 5 hingga 9 Sept dan akan berakhir di Gaza City dan kawasan utara dari 9 hingga 12 Sept, menurut sumber rasmi.

Pada 16 Ogos, Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres menyeru gencatan senjata selama tujuh hari untuk membolehkan vaksinasi 640,000 kanak-kanak, satu permintaan yang disokong oleh agensi PBB untuk pelarian Palestin (UNRWA).

Israel meneruskan serangan ganas ke atas Gaza selepas 7 Oktober tahun lalu, meskipun terdapat resolusi Majlis Keselamatan PBB yang menggesa gencatan senjata segera.

-- BERNAMA-ANADOLU


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan