DUNIA > BERITA

Mpox: Singapura Beri Vaksin Jynneos Kepada Petugas Kesihatan, Kontak Rapat

04/09/2024 05:28 PM

SINGAPURA, 4 Sept (Bernama) -- Singapura akan memberikan vaksin JYNNEOS kepada petugas kesihatan dan kontak rapat kes mpox, menurut Kementerian Kesihatan Singapura (MOH) dalam satu kenyataan pada Rabu.

Vaksin JYNNEOS diluluskan untuk digunakan di Singapura bagi perlindungan daripada jangkitan mpox dan cacar.

Langkah ini merupakan sebahagian daripada persediaan kesihatan awam negara untuk menangani wabak mpox Clade I, menurut MOH.

Setiap kontak rapat akan menerima satu dos vaksin semasa mereka berada dalam tempoh kuarantin, dalam tempoh 14 hari selepas terdedah kepada jangkitan bagi mengurangkan risiko jangkitan penyakit itu.

Namun, tiada cadangan untuk melaksanakan vaksinasi mpox secara menyeluruh bagi semua penduduk dan tiada saranan suntikan vaksin untuk pelancong ke negara yang terjejas mpox setakat ini.

MOH berkata bekalan vaksin JYNNEOS yang ada dijangka mencukupi berdasarkan strategi vaksinasi semasa.

Pihak kementerian akan terus memantau keadaan dan menyesuaikan strategi vaksinasi berdasarkan perkembangan wabak mpox dan bekalan vaksin di peringkat global.

MOH juga mengarahkan semua pengamal perubatan dan institusi kesihatan supaya berwaspada dalam mengesan dan segera melaporkan kes mpox, terutama yang melibatkan Clade I.

"Kes yang disyaki akan dipindahkan ke hospital untuk penilaian dan rawatan lanjut, jika perlu. Selepas pengesahan kes Clade I, MOH akan segera memulakan pengesanan kontak rapat," menurut kenyataan itu.

Kontak rapat akan dikuarantin selama 21 hari di kemudahan kuarantin kerajaan, berdasarkan tempoh inkubasi di Afrika.

Semua kes Clade I yang disyaki akan dirujuk ke hospital yang ditetapkan untuk pemeriksaan dan ujian lanjut.

Kes membabitkan pesakit dewasa akan dihantar ke Pusat Penyakit Berjangkit Nasional (NCID), kes pediatrik akan dirujuk ke Hospital Wanita dan Kanak-Kanak KK, manakala bagi ahli keluarga yang melibatkan dewasa dan kanak-kanak, akan dirujuk ke Hospital Universiti Nasional.

"Pesakit akan diasingkan sementara menunggu keputusan ujian. Semua pesakit yang disahkan positif Clade I akan terus diasingkan di kemudahan kesihatan sehingga sembuh," menurut MOH.

Rawatan untuk mpox adalah melalui penjagaan sokongan bagi membantu menguruskan simptom dan mencegah komplikasi.

Bagi kes yang lebih serius, ubat antiviral seperti Tecovirimat akan diberikan selaras dengan amalan agensi kesihatan awam lain, menurut kenyataan itu.

MOH juga akan mempertimbangkan pelaksanaan pemakaian pelitup muka di pengangkutan awam dan kawasan tertutup yang sesak sekiranya terdapat bukti mengenai penularan melalui udara.

"Berdasarkan bukti semasa, mpox disebarkan melalui sentuhan fizikal seperti di dalam rumah, kami tidak menyarankan pemakaian pelitup muka bagi individu yang sihat," menurut MOH.

MOH, bersama Kementerian Tenaga Manusia dan Agensi Alam Sekitar turut menjalankan ujian air sisa di asrama pekerja asing dan Pusat Onboard sebagai sebahagian daripada langkah kesiapsiagaan.

Pemeriksaan suhu dan visual juga dilaksanakan di Pusat Onboard, lokasi segelintir pemegang Permit Kerja yang baharu tiba di Singapura perlu mengikuti program Onboard.

Mpox disebabkan oleh virus cacar monyet, mempunyai dua subjenis iaitu Clade I dan Clade II.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia mengisytiharkan mpox sebagai Kecemasan Kesihatan Awam Antarabangsa (PHEIC), pertama kali pada Mei 2022 dan terbaharu pada Ogos 2024.

Setakat ini, terdapat 14 kes mpox di Singapura tahun ini, kesemuanya membabitkan jangkitan Clade II.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan