DUNIA > BERITA

16 Terkorban, 1.7 Juta Penduduk Terjejas Akibat Taufan Yagi Di Filipina

04/09/2024 05:34 PM

MANILA, 4 Sept (Bernama-dpa) --   Angka korban banjir dan tanah runtuh akibat taufan Yagi mencecah 16 orang di Filipina dengan 21 dilaporkan hilang, menurut agensi bencana negara dan polis pada Rabu, lapor agensi berita Jerman (dpa). 

Lima belas orang cedera dan 1.7 juta penduduk terjejas berikutan cuaca buruk di 26 wilayah dan ibu kota Manila sejak hujung minggu lepas, kata agensi bencana itu.

Berkenaan penduduk yang terjejas, 106,834 orang terpaksa berpindah apabila paras air naik sehingga ke paras dada di beberapa kawasan, menurut agensi itu.

Sembilan daripada angka korban meninggal dunia dalam banjir kilat dan tanah runtuh di Wilayah Rizal, di timur Manila, menurut polis.

Lima lagi maut kerana lemas dalam banjir, sementara seorang lagi maut terkena renjatan elektrik di bandar raya Cebu dan Naga dan Wilayah di Occidental Negros dan utara Samar, menurut agensi itu. 

Kira-kira 50 kawasan masih banjir, terutamanya di wilayah timur Visaya, katanya.

Ribut tropika Yagi telah bertukar kepada taufan dan mempunyai kelajuan tiupan angin 130 kilometer sejam (km/j) dan boleh mencecah 157 km/j, menurut Pusat Amaran Bersama Taufan. 

Ia telah keluar dari Filipina dan diramalkan akan menjejaskan Hong Kong sebelum bertemu daratan di selatan China waktu hujung minggu, menurut Biro Cuaca Filipina.

Taufan itu dijangka bergerak ke arah utara Vietnam dan juga membawa hujan di wilayah utara dan timur laut Thailand, menurut ramalan.

-- BERNAMA-dpa


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan