BERITA TERGEMPAR   Paris route represents Malaysia Airlines’ 68th destination and will be served by A350-900 aircraft - Capt Izham | 
 DUNIA > BERITA

Yuran Masuk Istana Himeji Untuk Pelancong Asing Mungkin Dinaikkan

04/09/2024 06:06 PM

KOBE (Jepun), 4 Sept (Bernama-Kyodo) -- Kerajaan tempatan Himeji di wilayah Hyogo sedang mempertimbangkan untuk menggandakan yuran masuk bagi pelancong asing yang melawat Istana Himeji, kata pegawai pada Rabu.

Menurut Agensi Berita Kyodo, kerajaan tempatan turut mempertimbangkan untuk memperkenalkan pelan tiket premium yang menyasarkan pelancong asing, termasuk perkhidmatan simpanan bagasi dan diskaun di restoran selain kemasukan ke tapak Warisan Dunia UNESCO itu.

Pada Jun, Datuk Bandar Himeji, Hideyasu Kiyomoto mengumumkan dalam satu simposium antarabangsa bahawa beliau sedang mempertimbangkan untuk menggandakan yuran masuk bagi pelancong asing, menaikkan harga tiket dewasa daripada 1,000 yen ($6.80) bagi membantu menampung kos penyelenggaraan.

Bagaimanapun, Kiyomoto memberitahu wartawan bahawa beliau ingin mengelakkan kenaikan yuran masuk bagi penduduk tempatan Himeji.

Kenyataannya mendapat kritikan daripada anggota dewan perbandaran yang berpendapat bahawa mengenakan bayaran yang tinggi terhadap pelancong asing boleh menjejaskan imej istana itu.

Himeji dijangka memperkenalkan sistem yuran baharu seawal musim bunga 2026 selepas membincangkannya dengan dewan perbandaran dan Agensi Hal Ehwal Kebudayaan.

"Istana Himeji memiliki lebih banyak bangunan yang menjadi khazanah negara berbanding mana-mana istana lain di Jepun, dan yuran masuk adalah dana penting untuk memelihara dan mewariskan istana ini kepada generasi akan datang," kata seorang pegawai.

Sekitar 1.48 juta orang melawat istana itu pada 2023 termasuk 452,300 pelancong asing, menyaksikan kali pertama jumlah pelawat asing melebihi 400,000 sejak data tersedia pada 1992, menurut kerajaan tempatan.

-- BERNAMA-KYODO

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan