DUNIA > BERITA

Modi Seru Hormati Undang-undang Maritim Antarabangsa

04/09/2024 07:35 PM

NEW DELHI, 4 Sept (Bernama) -- Perdana Menteri India Narendra Modi pada Rabu menyeru agar perjanjian maritim antarabangsa - Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Undang-Undang Laut (UNCLOS) - dihormati.

Merujuk kepada isu di rantau Laut China Selatan semasa lawatannya ke Brunei, Modi dalam ucapannya pada jamuan yang dihoskan oleh Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah berkata "kod tatalaku" diperlukan.

"Brunei ialah rakan kongsi penting dalam Dasar Akta Timur India dan Wawasan Indo-Pasifik. India sentiasa mengutamakan kepusatan ASEAN dan akan terus berbuat demikian. Kami menyokong kebebasan pelayaran dan penerbangan di bawah undang-undang antarabangsa seperti UNCLOS.

"Kami bersetuju bahawa satu kod tatalaku perlu dimuktamadkan di rantau ini. Kami menyokong dasar pembangunan dan bukan peluasan kuasa," kata Modi.

Satu kenyataan bersama India-Brunei menekankan penyelesaian pertikaian secara aman serta pematuhan terhadap undang-undang antarabangsa.

"Kedua-dua pemimpin mengulangi komitmen mereka untuk mengekalkan dan mempromosikan keamanan, kestabilan, keselamatan maritim serta menghormati kebebasan pelayaran dan penerbangan, serta perdagangan sah tanpa halangan selaras dengan undang-undang antarabangsa, terutamanya UNCLOS 1982," menurut kenyataan itu.

India dan Brunei telah bersetuju untuk meningkatkan hubungan dua hala ke tahap "perkongsian yang dipertingkatkan."

Lawatan Modi merupakan lawatan dua hala pertama oleh seorang ketua kerajaan India ke Brunei.

Perbincangan antara Sultan Hassanal Bolkiah dan Modi pada Rabu merangkumi kerjasama dalam bidang perdagangan, keselamatan makanan, pertahanan, pendidikan, tenaga, teknologi angkasa, dan kesihatan.

"Kami mengadakan perbincangan komprehensif mengenai pelbagai aspek hubungan kami untuk memberikan hala tuju strategik kepada perkongsian ini. Kami komited untuk memperkukuh kerjasama dalam sektor ekonomi, saintifik, dan strategik," kata Modi pada majlis jamuan itu.

Brunei dan India turut bersetuju untuk meningkatkan kerjasama di platform pelbagai hala seperti Hubungan Dialog ASEAN-India, Sidang Kemuncak Asia Timur, Forum Serantau ASEAN, dan Mesyuarat Asia-Eropah (ASEM).

India dan Brunei meraikan ulang tahun ke-40 hubungan diplomatik mereka tahun ini.

Kedua-dua negara turut membincangkan kerjasama jangka panjang dalam gas asli cecair (LNG) untuk mengembangkan hubungan tenaga mereka.

Bagi meningkatkan perjalanan, penerbangan terus antara ibu negara Brunei, Bandar Seri Begawan, dan bandar Chennai di India selatan akan dilancarkan tidak lama lagi.

Satu memorandum persefahaman (MoU) ditandatangani oleh Menteri Hal Ehwal Luar India Subrahmanyam Jaishankar dan Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi Brunei Pengiran Dato Shamhary Pengiran Dato Mustapha untuk kerjasama dalam pengendalian stesen telemetri, pengesanan dan "telecommand" bagi satelit serta kenderaan pelancar.

Pertubuhan Penyelidikan Angkasa Lepas India (ISRO) mengendalikan stesen di Brunei untuk menyokong aktivitinya.

Pada hari pertama lawatan dua harinya, Modi pada Selasa melawat Masjid Omar Ali Saifuddien yang menjadi mercu tanda Bandar Seri Begawan.

Kira-kira 14,500 rakyat India tinggal dan bekerja di Brunei.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan