DUNIA > BERITA

Unit Antikeganasan Indonesia Tahan Orang Dalam Buruan Di Gorontalo, Sulawesi

04/09/2024 11:04 PM

Oleh Mohd Iswandi Kasan Anuar

JAKARTA, 4 Sept (Bernama) -- Densus 88, unit antikeganasan Polis Indonesia mengumumkan penahanan orang dalam buruan  Yudi Lukito Kurniawan di Wilayah Gorontalo, Pulau Sulawesi pada Selasa.

Dalam satu kenyataan, jurucakap  Densus 88 Brig Jen  Aswin Siregar berkata Yudi Lukito telah mengelak daripada ditahan sejak 2016 dengan mengubah identitinya.

Beliau mengesahkan Yudi Lukito pernah menjalani latihan pelampau, menyertai Kem Hudaibiyah di Filipina antara 1998 hingga 2000 serta menyertai latihan separa tentera Muqoyama Badar di Jawa Timur, yang berkaitan dengan Kumpulan Jemaah Islamiyah.

Aswin mendedahkan  Yudi Lukito ditahan buat kali pertama oleh Densus 88 pada 2003 kerana memiliki sepucuk senjata api berlaras panjang yang dikaitkan dengan suspek lain, dikenali sebagai UM yang terlibat dalam kes Pengeboman Bali 1. 

Pada 2012, Yudi Lukito menyertai Kumpulan Jemaah Ansor Tauhid dan terlibat dalam satu program untuk menghantar wakil ke Yaman sebagai sebahagian daripada jihad global Al Qaeda di Semenanjung Arab (AQAP),

Menurut Aswin, Yudi Lukito berlepas ke Yaman di bawah bimbingan seorang individu dikenali sebagai Abu, yang juga ditahan Densus 88 atas peranannya dalam Kumpulan Jemaah Ansharut Sharia.

Sementara di Yaman, Yudi Likito dilaporkan menerima arahan daripada seorang tokoh kanan AQAP dikenali sebagai AM dan AZ untuk melakukan serangan keganasan di Bursa Saham Singapura.

Pada 2015, beliau cuba untuk memasuki Singapura melalui jalan laut tetapi tidak dibenarkan oleh pihak berkuasa imigresen dan diusir ke Batam.

Penyiasat menjumpai satu risalah propaganda  Hizbut-Tahrir Indonesia, satu pasport dengan nama Yudi Lukito Kurniawan dan dokumen pemeriksaan imigresen Singapura, katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan