DUNIA > BERITA

Malaysia Akan Perincikan Agenda Tenaga Untuk ASEAN 2025

05/09/2024 12:55 AM

JAKARTA, 4 Sept (Bernama) --  Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) akan memperincikan agenda Malaysia untuk ASEAN berkaitan dengan tenaga termasuk grid kuasa sebagai sebahagian daripada peranannya selaku Pengerusi ASEAN tahun depan.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata perkara itu dijadual akan dibincang semasa pertemuan dengan Menteri Koordinasi Bidang Maritim dan Pelaburan Indonesia Luhut Binsar Pandjaitan, Menteri Tenaga dan Sumber Mineral Indonesia, Bahlil Lahadalia dan Menteri Tenaga Manusia Singapura Dr Tan See Leng pada Khamis (5 September).

“Kita akan perincikan beberapa perkara terutamanya dengan Indonesia untuk meningkatkan jalinan kerjasama antara rakyat, antara kerajaan  dan hubungan antara perniagaan,” katanya kepada media selepas bertemu dengan diaspora Malaysia di Kedutaan Besar Malaysia di sini pada Rabu.

Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air dan rombongan  tiba di sini  untuk menghadiri Forum Kelestarian Antarabangsa Indonesia 2024 (ISF 2024) bermula dari 5 hingga 6 September atas jemputan Kerajaan Indonesia. 

Beliau disambut Duta Besar Malaysia ke Indonesia Datuk Syed Md Hasrin Tengku Hussin. 

Fadillah dijadual akan menyampaikan ucaptama di ISF 2024 bagi menzahirkan pendirian Malaysia dalam pengurangan perubahan iklim melalui perluasan penggunaan tenaga boleh baharu di peringkat nasional dan serantau.

Ia juga menunjukkan kesediaan Malaysia dalam melaksanakan peralihan secara lestari kepada para pelabur asing agar boleh meningkatkan keyakinan mereka untuk melabur di Malaysia, sekali gus mendorong para pelabur menyempurnakan agenda kemampanan dan matlamat Persekitaran, Sosial dan Tadbir Urus (ESG).

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan