DUNIA > BERITA

Universiti Tsukuba Pacu Industri Sukan Malaysia

05/09/2024 03:51 PM

Oleh Rohani Mohd Ibrahim

KUALA LUMPUR, 5 Sept (Bernama) -- Universiti Tsukuba yang baru sahaja membuka kampus cawangan pertamanya di luar Jepun di Malaysia telah meletakkan sasarannya untuk memainkan peranan penting dan melaksanakan transformasi dalam pembangunan jangka panjang industri sukan Malaysia.

Dikenali sebagai satu daripada institusi pendidikan dan penyelidikan terkemuka Jepun untuk sukan dan pendidikan jasmani, Universiti Tsukuba mempunyai reputasi untuk melahirkan atlet elit dan selama ini telah berjaya memupuk atlet untuk mewakili Jepun dalam pertandingan antarabangsa, termasuk Sukan Olimpik.

Presiden Universiti Tsukuba Kyosuke Nagata berkata kampus cawangan Malaysia yang dikenali sebagai Universiti Tsukuba, Malaysia (UTMy) yang terletak dalam Bangunan Wisma R&D di Universiti Malaya boleh menjadi platform utama untuk meningkatkan prestasi sukan Malaysia.

Bercakap kepada Bernama di kampus UTMy di Kuala Lumpur baru-baru ini, Nagata percaya kepakaran institusi itu dalam pendidikan dan penyelidikan sukan akan menjadi pemangkin dalam meningkatkan pencapaian negara dalam pelbagai pertandingan antarabangsa.

“Universiti Tsukuba berharap dapat terus menyumbang kepada pembangunan komuniti sukan Malaysia dengan menggunakan cawangan Malaysia sebagai hab,” katanya sambil menambah bahawa beliau berharap Malaysia boleh meraih lebih banyak pingat terutamanya emas dalam arena sukan antarabangsa termasuk Sukan Olimpik.

Kampus utama universiti itu yang ditubuhkan 51 tahun lepas terletak di Tsukuba, kira-kira 45 minit dengan kereta api dari Tokyo. Ia juga mempunyai cawangan di Tokyo.

Mengimbas mengenai Sukan Olimpik Paris yang berakhir baru-baru ini, Nagata berkata seramai 32 atlet dari Universiti Tsukuba bertanding dan memenangi pingat termasuk dalam acara judo dan lebih 50 kakitangan Universiti Tsukuba yang terlibat dalam Sukan Olimpik berkhidmat sebagai doktor dan jurulatih sukan.

Sejak penubuhannya, beliau berkata Universiti Tsukuba telah mengumpul 133 pingat Olimpik dan Paralimpik, terdiri daripada 41 emas, 44 perak dan 48 gangsa.

Pada Sukan Olimpik Paris 2024, Jepun memenangi 20 pingat emas, 12 perak dan 13 gangsa, menduduki tempat ketiga dalam pungutan pingat di belakang Amerika Syarikat dan China. Malaysia yang menduduki tempat ke-80 memenangi dua pingat gangsa menerusi badminton.

“Kami (Universiti Tsukuba) sentiasa melakukan inovasi dalam sukan melalui sains. Tanpa sains kita tidak boleh mempunyai sebarang pingat.

“Oleh itu kami akan cuba menjadikan rakyat Malaysia pemenang pingat juga. Saya berharap pingat emas pertama Malaysia dalam Sukan Olimpik dilatih oleh profesor dari Universiti Tsukuba, kata” Nagata.

Beliau berkata pelajar UTMy akan mempunyai akses kepada kemudahan sukan Universiti Malaya untuk latihan fizikal dan aktiviti mereka, serta perpustakaan untuk pengajian mereka.

Pada masa ini, terdapat 13 pelajar dalam kumpulan pertama UTMy, terdiri daripada tujuh rakyat Malaysia dan enam warga Jepun yang mendaftar untuk program Sarjana Muda Sastera dan Sains selama empat tahun di Pusat Pengajian Sains dan Reka Bentuk Transdisiplin. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan