DUNIA > BERITA

Singapura, India Bertukar MoU Mengenai Perkongsian Ekosistem Semikonduktor

05/09/2024 07:28 PM

SINGAPURA, 5 Sept (Bernama) -- Singapura dan India pada Khamis bertukar memorandum persefahaman (MoU) untuk bekerjasama dan menjadi rakan kongsi dalam bidang semikonduktor.

Kementerian Perdagangan dan Industri (MTI) Singapura dalam satu kenyataan berkata perjanjian itu bertujuan untuk menyokong industri semikonduktor India yang semakin berkembang sambil memudahkan ekosistem syarikat semikonduktor republik itu dan rantaian bekalan berkaitan untuk mengambil bahagian dalam pasaran India yang berkembang pesat.

MoU yang ditandatangani bulan lepas itu ditukar dalam majlis yang dihadiri Perdana Menteri Singapura Lawrence Wong dan rakan sejawatannya dari India Narendra Modi yang sedang dalam lawatan rasmi dua hari ke Singapura.

Perjanjian itu ditandatangani antara Timbalan Perdana Menteri Singapura merangkap Menteri Perdagangan dan Industri Gan Kim Yong dan Menteri Elektronik dan Teknologi Maklumat India Ashwini Vaishnaw di luar persidangan meja bulat Menteri India-Singapura pada 26 Ogos.

Gan berkata MoU itu menandakan komitmen Singapura dan India untuk bekerjasama dalam bidang semikonduktor bagi memenuhi permintaan industri di seluruh dunia.

“Ini juga akan mengukuhkan daya tahan rantaian bekalan semikonduktor dan mewujudkan pasaran serta peluang baharu untuk perniagaan di negara kita,” menurutnya dalam kenyataan itu.

Di bawah MoU itu, Singapura dan India akan memanfaatkan kekuatan pelengkap dalam ekosistem semikonduktor masing-masing dan memanfaatkan peluang untuk membina daya tahan dalam rantaian bekalan semikonduktor, termasuk pertukaran dasar yang diterajui kerajaan mengenai pembangunan ekosistem, daya tahan rantaian bekalan, dan pembangunan tenaga kerja.

Selain itu, MTI Singapura dan Kementerian Elektronik dan Teknologi Maklumat India (MeitY) akan mewujudkan dialog dasar untuk memudahkan perbincangan, memantau pelaksanaan bidang kerjasama, dan bertukar-tukar amalan terbaik.

Sebuah forum kerjasama perniagaan-ke-perniagaan yang selari juga akan ditubuhkan dan diketuai oleh Enterprise Singapore serta India Semiconductor Mission (ISM) untuk menggalakkan dan memangkin lebih banyak perkongsian sektor swasta antara kedua-dua negara.

Semasa lawatannya di Singapura, Modi melawat syarikat ekosistem semikonduktor tempatan, AEM Singapura.

Modi turut berinteraksi dengan pemain dan institusi ekosistem seperti APP Systems, Century Water, Ecsal Technologies, NexGen Wafer Systems, PEP Innovation dan Temasek Polytechnic.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan