DUNIA > BERITA

Paus Francis Seru Solidariti Menentang Ekstremisme Agama

05/09/2024 05:44 PM

JAKARTA, 5 Sept (Bernama-dpa) -- Paus Francis pada Khamis menyeru solidariti  menentang ekstremisme agama semasa lawatannya ke Indonesia, yang mempunyai penduduk Islam paling ramai di dunia.

Ketua Gereja Katolik berusia 87 tahun itu menekankan kepentingan perpaduan untuk "mengalahkan budaya keganasan dan sikap tidak peduli" semasa lawatannya ke Masjid Istiqlal, masjid terbesar di Asia Tenggara, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Paus Francis bertemu dengan Imam Besar Nasaruddin Umar dan menandatangani deklarasi bersama yang menekankan nilai-nilai bersama merentasi pelbagai agama untuk menggalakkan perdamaian dan keamanan.

Beliau dan imam besar berdiri di pintu masuk ke "Terowong Persahabatan", sebuah laluan bawah tanah yang menghubungkan kompleks masjid dengan katedral Katolik yang berdekatan, Our Lady of the Assumption.

Ia adalah "tanda yang penuh makna," kata Paus Francis kerana kedua-dua tempat ibadat bukan sahaja berhadapan antara satu sama lain tetapi juga dihubungkan, membolehkan "perjumpaan, dialog... pengalaman sebenar persaudaraan."

Paus Francis tiba di Indonesia pada Selasa, memulakan perjalanan luar negara terpanjang dalam tempoh jawatannya setakat ini, yang akan membawanya ke empat negara di Asia Tenggara dan Oceania dalam tempoh 12 hari akan datang.

Dengan lebih 240 juta umat Islam, Indonesia mempunyai penduduk Islam terbanyak di dunia.

Pada Jumaat, beliau akan meneruskan perjalanan ke Papua New Guinea, sebelum melawat Timor Leste dan Singapura.

-- BERNAMA-dpa


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan